KUALA LUMPUR —Kumpulan cerpen Manuskrip Paling Sempurna karya Stefanie Kaso terus mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai Bahan Bacaan Tambahan (BBT) Kementerian Pendidikan (KPM) Tahun 2026 bagi sekolah menengah.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Stefanie Kaso menerusi media sosialnya semalam, selepas menerima surat penerimaan itu.
“Baru hari ini berkesempatan membaca e-mel, sebab sibuk. Saya tidak tahu bagaimana untuk bereaksi ketika menerima e-mel ini. Yang terngiang-ngiang, bunyi ikan lumba-lumba. Terima kasih penerbit, terima kasih yang mendoakan (ibu guru) dan tidak lupa, terima kasih yang membaca Manuskrip Paling Sempurna,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi surat yang dikongsi, memaklumkan bahawa Manuskrip Paling Sempurna yang diterbitkan tahun lalu telah lulus penilaian untuk Projek Bahan Bacaan Tambahan (BBT) bagi sekolah menengah di bawah pelaksanaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2026.
Ketika dihubungi Titik Baca, Pengurus Nusa Centre, Nurin Amani berkata pihaknya telah melihat potensi besar karya tersebut sejak di peringkat penyuntingan lagi, bukan sahaja sebagai sebuah karya sastera untuk khalayak umum, malah sebagai bahan bacaan yang sesuai untuk pelajar sekolah.
“Semasa saya menilai dan menyunting kumpulan cerpen ini, memang saya nampak ada potensi cerah untuk berkembang di bawah Nusa Centre. Selain meraikan sastera untuk masyarakat umum, kami juga melihat buku ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan di peringkat sekolah kerana pendekatan dan genre yang dibawakan selari dengan arah penerbitan kami.
“Atas sebab itu kami mengambil inisiatif mencalonkan Manuskrip Paling Sempurna kepada KPM sebagai Bahan Bacaan Tambahan. Maklum balas daripada para pembaca juga amat positif dan ramai berpendapat bahawa buku ini mempunyai kualiti yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nusa Centre, S.M. Zakir berkata pihaknya sejak awal lagi yakin bahawa manuskrip tersebut mempunyai nilai sastera yang mampu menarik perhatian pembaca daripada pelbagai lapisan.
“Sejak kami menerima manuskrip Manuskrip Paling Sempurna, kami sudah menjangkakan karya ini mempunyai potensi yang besar. Cerpen-cerpen yang terkandung di dalamnya menampilkan kekuatan bahasa yang segar, teknik penceritaan yang mengujakan serta kemampuan pengarang mengangkat pengalaman manusia dengan cara yang tersendiri,” katanya.
Pemilihan Manuskrip Paling Sempurna sebagai Bahan Bacaan Tambahan KPM dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap mutu karya tersebut, selain membuka ruang kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah mengenali karya sastera kontemporari tempatan yang berkualiti.
Pencapaian ini turut mengukuhkan kedudukan Manuskrip Paling Sempurna sebagai antara kumpulan cerpen tempatan yang mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan pembaca sastera, malah di peringkat institusi pendidikan.
Dengan pengiktirafan daripada KPM, karya ini dijangka akan terus memperluaskan jangkauan pembaca dan memperkenalkan penulisan Stefanie Kaso kepada generasi muda di seluruh negara.













