Perempuan bukan sekadar watak dalam cerita, turut menulis cerita negara — Fadhlina

Kelabperempuanmmebaca1

KUALA LUMPUR — Wanita bukan sekadar menjadi pemerhati kepada perjalanan sejarah negara, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam menulis, menggerakkan dan membentuk sejarah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, perkara itu antara semangat yang mahu disuburkan menerusi Kelab Perempuan Membaca yang buat pertama kalinya menghimpunkan peserta secara bersemuka dan dalam talian menerusi tema “Perempuan dan Negara”.

“Katanya perempuan kalau membaca, novel cinta juga yang dicari. Tentang jatuh cinta. Tentang patah hati. Tentang bahagia selamanya.

“Hari ini di Kelab Perempuan Membaca, kami memilih untuk membaca tentang satu bentuk cinta yang lain, iaitu cinta kepada negara,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika menghadiri siri pertama Kelab Perempuan Membaca yang berlangsung di Semua House, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, tema berkenaan membuka ruang untuk peserta melihat hubungan antara wanita, pembacaan, kepimpinan dan pembinaan negara melalui karya-karya yang mengangkat pengalaman serta sumbangan wanita.

Beliau turut membawa bersama novel Anugerah karya Zaharah Nawawi yang disifatkannya sebagai karya dekat dengan hati kerana dihadiahkan oleh arwah bapanya dan masih disimpannya sehingga kini.

“Melalui Ramlah dan Mariam, kita membaca tentang perempuan dalam politik dan gerakan sosial menuju kemerdekaan. Perempuan yang bukan sekadar menyaksikan sejarah tetapi turut terlibat aktif dalam perjuangannya,” katanya.

Selain itu, peserta turut dibawa menghayati kisah perjuangan dan keberanian Tan Sri Dr. Aishah Ghani menerusi buku Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London.

Menurut Fadhlina, karya berkenaan mengetengahkan kisah keberanian seorang wanita keluar melihat dunia dan melangkaui batas zamannya.

Turut dibincangkan ialah buku Azah Aziz: Kartika di Langit Seni yang mengangkat perjalanan hidup Azah Aziz sebagai anak, isteri, ibu dan budayawan yang meninggalkan jejak besar terhadap seni serta budaya masyarakat.

“Tiga buku. Tiga perjalanan perempuan. Tetapi ada satu titik yang menghubungkan semuanya. Perempuan bukan sekadar menyaksikan sejarah negara berlaku. Perempuan turut menulis, menggerakkan dan membentuknya,” katanya.

Fadhlina berkata, Kelab Perempuan Membaca mahu menggalakkan lebih ramai wanita membaca, bertukar fikiran, berani bertanya serta membina pandangan mengenai masyarakat dan negara.

“Gerakan membaca dalam kalangan wanita mesti terus diperluaskan.

“Kerana perempuan bukan hanya watak dalam cerita. Perempuan juga menulis cerita sebuah negara,” katanya.

Program anjuran Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), selaku penaung Kelab Perempuan Membaca, dengan kerjasama Kelah Buku itu menghimpunkan wanita pemimpin, tokoh masyarakat, pencinta buku dan penggiat industri perbukuan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, selain penulis, ahli akademik, ahli Kelab Perempuan Membaca serta pengunjung yang menyertai program secara fizikal dan dalam talian.

Siri pertama bertemakan “Perempuan dan Negara” itu menjadi platform memperkukuh budaya membaca, memperkaya wacana intelektual serta memperkasakan kepimpinan wanita berteraskan ilmu.

Selain diskusi buku, program turut diserikan dengan aktiviti literasi keluarga, perkongsian pengalaman ahli kelab, sesi jaringan profesional dan pinjaman buku yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Kelab Perempuan Membaca yang diilhamkan oleh Fadhlina akan diteruskan secara berkala bagi membina komuniti wanita yang aktif membaca, berfikir secara kritis dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui perkongsian ilmu serta pengalaman.

Fadhlina turut memaklumkan pertemuan seterusnya akan diadakan pada bulan hadapan dengan lebih banyak buku dan perkongsian cerita.

Orang ramai yang berminat menyertai siri Kelab Perempuan Membaca boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui www.perempuanbaca.my atau mengikuti media sosial rasmi @perempuanbaca.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *