Dua karya Malaysia tersenarai dalam IBBY Honour List 2026

Ibby2026

KUALA LUMPUR — Dua karya dari Malaysia, masing-masing dalam kategori penulisan dan ilustrasi, terpilih dalam IBBY Honour List 2026, sebuah senarai dwitahunan yang menghimpunkan karya buku kanak-kanak terbaik dan terbaharu daripada negara anggota International Board on Books for Young People (IBBY).

Dua karya tersebut ialah novel Chempaka Dengan Piano karya Nisah Haron, yang tersenarai pada nombor 43 dalam kategori Writing, serta buku bergambar The Water Folks Return Home hasil ilustrasi Chinnyinc (Chua Chinn Yin) dengan teks oleh Landon Chia, yang berada pada nombor 112 dalam kategori Illustration.

IBBY Honour List 2026 merekodkan pencapaian terbesar dalam sejarah program berkenaan dengan menghimpunkan 191 pencalonan dalam 52 bahasa dari 59 negara.

Daripada jumlah tersebut, 76 karya dipilih dalam kategori Writing, 58 dalam Illustration dan 57 dalam Translation.

Chempaka Dengan Piano, diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 2025, merupakan novel kanak-kanak setebal 144 halaman yang disasarkan kepada pembaca berusia 12 hingga 18 tahun.

Karya tersebut mengangkat isu misofonia, autisme, persahabatan dan penerimaan menerusi watak Chempaka, seorang kanak-kanak yang sangat sensitif terhadap bunyi.

Dalam kisah tersebut, Chempaka hanya berasa tenang apabila bersama kucing peliharaannya, Piano.

Selepas menghilangkan diri ketika berdepan kejadian bunyi yang keterlaluan, Chempaka menjalin persahabatan rapat dengan Amir yang memahami keadaannya, selain mendapat sokongan daripada sahabat sekolahnya, Balqis.

Karya Nisah Haron mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak autistik dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran, selain memperlihatkan kekuatan yang lahir melalui penerimaan, kefahaman dan persahabatan.

Nisah Haron, yang dilahirkan pada 1973, merupakan novelis, penyair dan eseis Malaysia serta penerima Southeast Asian Young Writers Award 2017.

Bekas peguam itu memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa pada 2006 dan pernah mewakili Malaysia dalam International Writing Program di University of Iowa, Amerika Syarikat, pada 2015.

Sementara itu, The Water Folks Return Home, diterbitkan oleh Gasing Buku pada 2023, merupakan buku bergambar untuk pembaca berusia lima hingga sembilan tahun yang mengangkat tema penebangan hutan, banjir dan kerosakan alam sekitar.

Karya tersebut mengisahkan Water Folk yang pulang ke bumi selepas bercuti di langit, namun mendapati tempat tinggal mereka, iaitu pokok-pokok besar, sudah ditebang.

Tanpa tempat berlindung, mereka memulakan perjalanan untuk mencari rumah baharu sebelum pertemuan dengan Human Folk mencetuskan kejadian banjir besar.

Melalui pendekatan imaginatif dengan memberikan sifat manusia kepada air, karya berkenaan mengajak pembaca kanak-kanak memahami hubungan antara manusia dengan alam sekitar serta kesan tindakan manusia yang mengganggu keseimbangan alam.

Chinnyinc atau Chua Chinn Yin merupakan seniman Malaysia dari Kluang yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam Children’s Book Illustration dari Cambridge School of Art.

Karya ilustrasinya banyak menggunakan pendekatan visual untuk menyampaikan isu sosial dan alam sekitar, khususnya berkaitan alam semula jadi serta kesan campur tangan manusia.

Pemilihan kedua-dua karya berkenaan memperlihatkan kepelbagaian dan kekuatan karya kanak-kanak Malaysia yang mampu diketengahkan pada peringkat antarabangsa, selain mengangkat isu kemanusiaan, penerimaan dan kelestarian alam melalui pendekatan kesusasteraan serta ilustrasi.

IBBY Honour List telah diterbitkan setiap dua tahun sejak 1956.

Senarai sulung program tersebut hanya menghimpunkan 15 karya daripada 12 negara.

Kategori Illustration diperkenalkan pada 1974, manakala Translation menyusul pada 1978 sebelum nama IBBY Honour List digunakan secara rasmi pada 1980.

Senarai 2026 turut memperlihatkan kepelbagaian bahasa yang semakin luas, termasuk kemunculan pertama beberapa bahasa pribumi dan minoriti seperti Cabécar dari Costa Rica, Komi dari Rusia, Quechua dari Peru, Frisian dari Belanda dan Welsh dari United Kingdom.

Koleksi karya yang terpilih akan dipamerkan dalam pelbagai persidangan dan pesta buku antarabangsa.

IBBY Honour List 2026 diperkenalkan secara rasmi serta diploma disampaikan kepada para calon pada 8 Ogos 2026, bersempena Kongres Dunia IBBY ke-40 di Ottawa, Kanada.

Karya-karya tersebut turut dijadualkan dipamerkan di Frankfurt Book Fair pada Oktober 2026 dan Bologna Children’s Book Fair pada April 2027, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada karya kanak-kanak Malaysia untuk dikenali oleh pembaca, penerbit dan penggiat industri buku antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *