KUALA LUMPUR — Budaya membaca bukan sekadar membina keupayaan memahami teks, sebaliknya turut membuka ruang untuk masyarakat menelusuri pengalaman, sejarah dan pemikiran yang membentuk kehidupan bersama.
Gagasan itu diterjemahkan menerusi pertemuan kedua Kelab Perempuan Membaca yang mengangkat tema Perempuan dalam Sejarah.
Dianjurkan oleh Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) selaku penaung Kelab Perempuan Membaca dengan kerjasama Kelah Buku, program yang berlangsung di Sunken Garden, MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur, semalam itu menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar, termasuk pemimpin, tokoh masyarakat, penulis, penggiat industri perbukuan, akademia, pengamal media serta pencinta buku.
Pertemuan tersebut menjadi ruang untuk membincangkan kedudukan wanita dalam sejarah, kepimpinan dan pembinaan negara menerusi pembacaan serta perkongsian pengalaman.
Perbincangan yang berlangsung secara interaktif turut memperlihatkan bagaimana karya dan literasi dapat menjadi wahana untuk membentuk pemikiran kritis, memperkukuh jati diri serta memahami sumbangan dan pengorbanan wanita dalam perjalanan pembangunan masyarakat.
Inisiatif Kelab Perempuan Membaca yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berteraskan gagasan bahawa budaya membaca merupakan antara asas penting dalam pembentukan wanita berilmu dan berdaya fikir.
Melalui pembacaan, wanita bukan sahaja didorong untuk memperluas pengetahuan, malah diberi ruang membina jaringan, bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman yang dapat menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, selain penyertaan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Pudu yang turut didedahkan kepada wacana pembacaan dan pemikiran sastera tanah air.
Fadhlina menyempurnakan majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Siti Nur’ain Hamsan, serta barisan pemimpin industri perbukuan, penulis, akademia dan pengamal media.
Selain diskusi buku, program turut mengetengahkan aktiviti literasi keluarga, perkongsian pengalaman dalam kalangan ahli kelab, sesi jaringan profesional dan pinjaman buku.
Pelbagai pengisian tersebut memperlihatkan usaha Kelab Perempuan Membaca menjadikan pembacaan sebagai aktiviti yang berkembang melampaui ruang peribadi kepada pembentukan komuniti.
Penganjuran kali kedua itu menerima sambutan sekitar 300 peserta, termasuk ahli Kelab Perempuan Membaca dan pengunjung.
Jumlah tersebut memperlihatkan ruang yang tersedia untuk program literasi yang menggabungkan pembacaan dengan dialog intelektual dan pembinaan jaringan sosial.
Bagi Kota Buku, usaha memperluas budaya membaca melalui pendekatan berasaskan komuniti merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan ilmu dan pembacaan sebagai pemangkin pembangunan modal insan.
Kelab Perempuan Membaca ditubuhkan sebagai platform inklusif yang memfokuskan pembudayaan membaca dalam kalangan wanita menerusi siri pembacaan, perbincangan, program literasi komuniti dan pembinaan jaringan sosial.
Dengan tema Perempuan dalam Sejarah, pertemuan kali kedua kelab berkenaan tidak sekadar mengajak wanita membaca tentang sejarah, tetapi turut membuka ruang untuk memahami bagaimana pengalaman dan sumbangan wanita direkodkan, ditafsirkan serta diingati dalam pembentukan masyarakat.
Orang ramai yang berminat menyertai siri Kelab Perempuan Membaca yang akan datang boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang rasmi kelab atau mengikuti @perempuanbaca.my di Instagram dan Threads.













