Kehadiran penulis baharu kini bukan sekadar pelengkap kuota dalam pasaran buku tempatan, tetapi membawa manifestasi penulisan yang segar, dinamik, dan berani mendedahkan realiti masyarakat moden tanpa sebarang tapis.
Salah satu bukti keyakinan generasi baharu ini dapat dilihat dari penghasilan novel Tangis Penglipur Lara karya Fatin K. Elysha.
Karya ini bukan sahaja hadir sebagai naskhah fiksyen yang menghiburkan, malah menjadi wahana untuk mengajak pembaca menyelami kehidupan seorang pendidik yang bermasalah mental.
Pusat penceritaan novel ini berkisar pada watak Cikgu Azizah, seorang pendidik yang mengalami masalah kesihatan mental akibat peristiwa tragis pada masa lalunya.
Walaupun trauma silam mencengkam kehidupannya, keghairahan beliau terhadap dunia pendidikan tidak pernah padam.
Sungguhpun sering menerima teguran keras, dimarahi rakan sejawat, mahupun dihalang oleh pengawal keselamatan sekolah, Cikgu Azizah tetap nekad melangkah kaki ke sekolah semata-mata untuk mengajar.
Kehadiran watak Cikgu Azizah mencetuskan wacana yang agak kompleks. Di mata masyarakat awam, perbuatannya mungkin dianggap sebagai tingkah laku yang tidak wajar atau sekadar halusinasi seorang pesakit mental.
Namun, dari sudut psikologi dan sastera, kecekalan beliau bertindak sebagai metafora pencarian identiti.
Keinginan mendalam untuk terus mengajar membuktikan bahawa masa lalu dan kepahitan hidup tidak berupaya memadamkan sepenuhnya jati diri seseorang sebagai seorang pendidik.
Jika kita meneliti teori Psikoanalisis Sigmund Freud, tindakan Cikgu Azizah yang nekad mahu mengajar meskipun berdepan trauma dan kecelaruan mental boleh difahami menerusi dinamik pertembungan tiga komponen personalitinya iaitu id, ego dan super ego.
Pada aras terbawah, id mewakili trauma masa lalu dan pengalaman tragis yang tersimpan kemas dalam minda bawah sedar (unconscious mind).
Komponen ini secara berterusan mencetuskan konflik emosi, ketakutan, dan dorongan kesakitan batin yang berupaya meruntuhkan kestabilan jiwanya.
Namun begitu, penderitaan tersebut diimbangi oleh super ego yang terbentuk kukuh menerusi prinsip moral, tanggungjawab, serta kecintaannya terhadap dunia perguruan.
Identiti sebagai seorang pendidik telah menyatu ke dalam ego Cikgu Azizah, sekali gus mewujudkan komitmen moral yang teguh bahawa tugas mendidik ialah paksi kewujudannya.
Di tengah-tengah pertembungan ini, ego bertindak sebagai perantara yang berpaut pada alam realiti.
Keinginan kuat Cikgu Azizah untuk terus hadir ke sekolah merupakan usaha ego mempertahankan identiti diri agar tidak tenggelam dalam kawalan trauma id.
Mengajar akhirnya berfungsi sebagai pautan rasional yang mengekalkan kewarasan dan kestabilan jiwanya daripada runtuh sepenuhnya.
Pengangkatan isu sebegini menunjukkan kepekaan emosi penulis muda seperti Fatin K. Elysha.
Beliau tidak menggambarkan watak berpenyakit mental secara stereotaip seperti individu yang hilang pertimbangan sepenuhnya atau berbahaya.
Sebaliknya, beliau membawa pembaca masuk ke dalam ruang fikiran Cikgu Azizah untuk memahami bahawa di sebalik setiap tingkah laku yang ganjil, wujud sejarah luka, kerinduan, dan impian yang tidak sempat dicapai.
Naratif Tangis Penglipur Lara menjadi semakin kaya dengan kehadiran watak Suri dan Nilam.
Kedua-duanya merupakan bekas anak murid Cikgu Azizah yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Kehadiran mereka membawa imbangan emosi yang penting dalam novel ini.
Sungguhpun sibuk mendepani cabaran akademik dan persiapan alam dewasa, Suri dan Nilam tidak melupakan jasa guru lama mereka.
Tindakan Suri dan Nilam yang mengambil berat akan kebajikan Cikgu Azizah menyuntik elemen nilai murni yang amat diperlukan dalam sastera moden.
Pada era peradaban yang berbelah bahagi dan individualistik ini, hubungan antara manusia kerap terhakis.
Namun, keprihatinan dua watak ini membuktikan bahawa nilai rasa hormat dan kasih sayang murid terhadap pendidik mampu merentas ruang waktu dan garis keadaan mental seseorang.
Walau bagaimanapun, Fatin K. Elysha tidak menjadikan kisah ini sekadar melodrama hubungan guru dan murid.
Penceritaan menjadi semakin berlapis apabila plot mula menyingkap perkara-perkara yang tidak dijangka sepanjang usaha Suri dan Nilam membantu Cikgu Azizah.
Penulis dengan bijak menyelitkan persoalan rahsia silam yang terselimpung, sekali gus mewujudkan elemen saspen yang mengekalkan daya tarikan pembaca dari awal hingga akhir.
Setiap pengarang besar tanah air daripada era Asas 50 sehinggalah ke era generasi 90-an, semuanya bermula sebagai seorang penulis baharu. Tiada pengarang yang lahir terus bersama karya agung (masterpiece) mereka.
Oleh itu, anggapan sesetengah pihak bahawa penulis muda hanya menghasilkan karya picisan atau sekadar mengikut trend popular perlu dikikis sama sekali.
Generasi penulis baharu hari ini perlu diberikan ruang secukupnya untuk bereksperimen, membina gaya kepengarangan sendiri, dan mencari suara kepengarangan mereka.
Karya seperti Tangis Penglipur Lara mempamerkan keberanian untuk keluar daripada kerangka cerita romantis tegar atau plot stereotaip pasaran umum dengan mengetengahkan isu kesihatan mental secara berhemah.
Sudah tentu, perjalanan golongan penulis muda masih panjang. Mereka memerlukan bimbingan berterusan, pembacaan yang luas melangkaui pelbagai genre, serta kritikan membina daripada pengkritik sastera mapan.
Pembacaan yang mendalam terhadap karya-karya klasik dan antarabangsa akan membantu mengukuhkan lagi struktur plot, kosa kata, dan falsafah penulisan mereka pada masa hadapan.
Masa depan sastera Melayu bergantung sepenuhnya kepada keterbukaan kita menerima generasi pelapis.
Menghargai sumbangan penulis mapan memang menjadi kewajipan, namun memupuk potensi penulis muda merupakan pelaburan jangka panjang untuk memastikan kelangsungan bahasa dan sastera kebangsaan.
Pencapaian Fatin K. Elysha menerusi Tangis Penglipur Lara menjadi bukti jelas bahawa generasi muda mempunyai daya empati yang tinggi dan kebolehan mengolah isu-isu semasa menjadi naskhah yang berjiwa.
Penulis muda bukanlah saingan kepada penulis lama, mahupun sekadar watak tempelan dalam kancah kesusasteraan. Mereka merupakan pemacu wacana baharu yang bakal menentukan hala tuju dan identiti sastera tanah air pada masa akan datang.
Dapatkan Tangis Penglipur Lara di Shopee Nusa Centre.













