Ketika diberi peluang bercakap dengan Jun

Bercakapdenganjun

Pada mulanya saya menyangkakan buku ni bergenre seram kerana tajuknya lebih kurang sama dengan siri popular karya Tamar Jalis, Bercakap dengan Jin.

Tetapi sangkaan saya meleweng sepenuhnya sebaik sahaja tamat Bab 1.

Buku yang saya sangkakan berbaur misteri, seram dan thriller ni membuatkan saya nak terus membaca sampai penamat.

Penggunaan bahasa Hasrul Rizwan kaya dengan binaan imaginasi yang luas bagai galaksi Bima Sakti, sehingga pembaca betul-betul menikmati setiap latar dan watak yang dibina.

Hasrul Rizwan, atau nama lainnya Mat Gorn, berjaya menarik saya ke tengah ibu kota Kuala Lumpur. Saya bukan sekadar membaca kisah Jun, tapi seolah-olah menjadi sebahagian daripada dirinya. Menjadi mata seorang Lily. Menjadi penumpang rawak dalam monorel.

Malah Mat Gorn turut berjaya membuka pancaindera pembaca untuk menelusuri Pekan Kuang yang tak pernah saya lawati, tak pernah singgah, mungkin tak pernah pun saya lalu walau sesaat.

Entah betul atau tidak gambaran Pekan Kuang yang penulis bina, tetapi imaginasiku tetap berjaya ditangkap.

Rasanya macam pakai kamera VR yang merakam keseluruhan pekan itu, daripada stesen komuter hinggalah ke kawasan Cekur Manis.

Dengan pembinaan latar tempat, masa, ruang dan benda yang begitu teliti, Bercakap dengan Jun benar-benar membawa saya menjadi “Jun”.

Saya ditarik masuk ke dalam konflik hidupnya pada malam kelahiran Ranum bersama Naurah, di sebuah bangunan lama tanpa kain purdah.

Pada mulanya saya tak faham kenapa sebelum “Buku 1” (Edisi Kombo), Mat Gorn memulakan mukadimahnya dengan ayat, “Buat anak-anakku.”

Kemudian dengan selamba dia menepek ayat pasal, “buah dada seorang pondan”. Nampak tak sopan. Tapi apa nak hairan, buku ni pun terbitan Fixi—untuk pembaca matang.

Sekali lagi sangkaan saya meleset. Masuk sahaja adegan Ranum dilahirkan, Jun yang pada ketika itu saya pun belum tahu namanya ialah Jun (saya baru sedar bila masuk “Buku 2”), muncul sebagai seorang bapa yang sangat green flag dan bertanggungjawab.

Bayangkan seorang budak lelaki yang membesar hanya bersama ibunya. Melihat ibunya membanting tulang empat kerat seorang diri selepas bapanya menghilangkan diri.

Kemudian ibunya pula meninggal dunia selepas ditipu pemaju perumahan. Akhirnya dia menjadi lelaki sebatang kara yang tak terurus, dianggap gila oleh masyarakat, hidup dengan tangan yang berdosa kerana mencopet.

Tetapi Tuhan masih meninggalkan satu ruang ihsan dalam dirinya untuk menebus segala dosa itu. Dia dipilih menjadi seorang bapa kepada Ranum.

Watak Jun masih menyimpan satu sifat yang tak pernah mati, iaitu kasih sayang. Kasih sayang yang melintasi dan melawan hampir semua perasaan lain di dunia.

Kasih sayang itu bukan sahaja dilemparkan kepada Ranum, malah kepada Saigon, seekor anjing hitam yang dipungutnya ketika masih kecil di hadapan kedai Naurah sebelum hampir dipukul dengan penyapu.

Sebenarnya sifat yang diberikan kepada Jun bukan sekadar menjadikan dia figura seorang bapa, tetapi figura yang sepatutnya ada pada setiap lelaki. Atau mungkin pada setiap manusia.

Jalan cerita novel kombo ini ringan dan sangat mudah dihadam. Hampir keseluruhan buku pertama dipenuhi momen-momen indah yang menunjukkan betapa dalamnya kasih Jun terhadap Ranum.

Klimaks mula muncul di penghujung “Buku 1”. Dan sekali lagi buku ni memperbodohkan sangkaan dan imaginasi saya. Saya ingatkan ini cuma kisah seorang ayah dan anak yang hidup bahagia dengan seekor anjing saja, tetapi muncul antagonis paling sial dalam cerita, Pak Rejab.

Seorang lelaki yang digambarkan sangat warak, kononnya paling agama, takut kepada anjing seperti Saigon, tetapi pada masa sama mempunyai anak yang “terpincang” akhlaknya, iaitu Naurah yang melahirkan Ranum di luar nikah.

Dia membuat laporan polis dan memfitnah Jun sebagai penculik kepada bayi yang hilang enam tahun lalu tanpa usul periksa.

Fitnah itu akhirnya memisahkan Ranum daripada lelaki yang paling dia sayang dan daripada ibunya sendiri yang disangka telah mati.

Walau bagaimanapun, Mat Gorn tak menghentam Jun dengan kesusahan tanpa henti. Watak-watak pertolongan sentiasa hadir setiap kali Jun berusaha.

Bagi saya itulah yang buat cerita ini terasa realistik dan tidak menjadikan plot bergerak dengan cemas dan sangat tiba-tiba dengan kehadiran watak baharu yang muncul entah dari mana.

Misalnya, ada Pak Akob yang menghadiahkan basikal; Tok Senik yang membeli hasil tanaman dan menghadiahkan tiga biji batu permata; Lily yang menjadi sidekick hingga habis cerita; Apek Tong San yang menjadi pengantara Jun berjumpa dengan Lan Mundoq; dan ramai lagi.

Mereka semua menunjukkan bahawa masih wujud nilai manusiawi dalam dunia ini.

Walaupun kita selalu menganggap dunia ni kecil dan kejam, hakikatnya masih ramai manusia yang peduli, berbudi bahasa dan sanggup menjadi malaikat kepada orang lain seperti Jun.

Bercakap dengan Jun seolah-olah memberitahu saya bahawa dunia ni tak terlalu fuck up. Hidup pun tak selamanya sial. Masih banyak sebab yang Tuhan akan bagi untuk kita terus hidup walaupun susah.

Masih ada jalan keluar walau seteruk mana kita tersepit. Masih ada tempat berteduh walau seramai mana orang mengusir kita.

Dan masih ada tangan yang akan menghulurkan bantuan walau selama mana kita berdiri sebagai manusia yang terasing.

Bercakap dengan Jun memberi gambaran bahawa bumi ini terus berputar tanpa membiarkan kita benar-benar bersendirian sebab manusia memang tak diciptakan untuk hidup seorang diri.

Pertolongan Tuhan akan datang dari pelbagai arah tanpa kita sedar. Mungkin melalui doa orang lain. Mungkin melalui orang yang langsung kita tak kenal atau mungkin juga kerana Jun memilih untuk menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab dan itulah sebabnya Tuhan sentiasa membuka jalan untuknya.

Dan kerana itu jugalah saya rasa pengakhiran cerita ini sangat adil untuk seorang lelaki yang sepanjang hidupnya hanya mahu memberikan yang terbaik kepada anak perempuannya, Ranum.

Usai baca naskhah ni, baru saya sedar saya menghabiskannya dalam bulan Hari Bapa—bulan Jun.

Walaupun saya sendiri tak boleh kaitkan diri sendiri sebagai seorang bapa, saya tetap merasakan buku ni patut dibaca oleh semua lelaki. Atau sesiapa sahaja yang pernah rasa asing, tersisih dan sedang mencari sebab untuk terus hidup.

Terima kasih, Hasrul Rizwan. Kerana memberi saya bercakap dengan Jun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *