Di Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2026 baru-baru ini, seseorang memanggil saya. Dia bertanya soalan yang ringkas tetapi membuka banyak kemungkinan, “Awak buat apa sekarang? Kerja macam mana?”
Saya menjawab tentang kerja hakiki saya—kerja yang tidak terlalu terikat dengan waktu. Selepas beberapa soalan susulan, barulah dia menyatakan hasrat sebenar.
“Kita buat portal berita. Awak boleh jadi ketua pengarang,” katanya. Yakin.
Dia menceritakan ideanya satu persatu. Ada yang saya rasakan berat untuk diterima, ada juga yang menuntut komitmen besar.
Namun, idea untuk membangunkan sebuah portal berita yang meliputi sastera, budaya dan seni benar-benar menarik perhatian saya.
Beberapa tahun lalu, pernah ada seseorang yang berbual dengan saya tentang perkara hampir serupa.
Perbualan itu hanya berlegar di awang-awangan—tiada susulan, tiada pelaksanaan. Namun idea tersebut kekal dalam ingatan saya sehingga kini.
Di KLAB itulah idea lama itu datang kembali. Saya menceritakan kepadanya, “Sebenarnya memang dari dulu saya ada impian nak jaga sebuah portal berita. Atau setepatnya nak menjadi editor portal. Dulu saya pernah berbual kosong dengan [insert name], tapi lepas itu senyap sahaja.”
“Hah! Yang itu tak jadi. Kali ini saya confirm, mesti jadi,” katanya, meyakinkan.
Saya kira, inilah peluang untuk saya benar-benar menjaga sebuah portal.
Sepulang daripada perbincangan itu, saya mula melayari semula dunia yang lama saya tinggalkan—membangunkan laman web.
Kali terakhir saya membangunkan laman web adalah semasa tempoh magang diploma dahulu. Kini, banyak perkara dalam teknologi telah berubah dan saya perlu mengejarnya kembali.
Dua hari kemudian, saya kembali ke KLAB dan bertemu dengannya.
“Saya boleh buat ini.”
Saya bentangkan gerak kerja, kos pengurusan, bayaran penulis dan segala perkara yang saya tahu tentang membangunkan sebuah portal media—secara realistik, bukan angan-angan.
Ketika tulisan ini ditulis, saya tidak pasti sama ada dia menyedari atau masih mengingati bahawa saya pernah bekerja sebagai wartawan di sebuah portal berita dalam talian.
Namun, pengalaman itulah yang membentuk cara saya melihat kerja editorial—bagaimana ketua pengarang dan sub-editor saya dahulu bekerja, bagaimana berita dan artikel disusun, disemak dan dipertanggungjawabkan.
Saya mungkin tidak sempurna, tetapi saya boleh “meniru” disiplin mereka, sambil belajar daripada rakan-rakan lain dalam dunia media.
Proses pengarkiban
Di negara ini, mungkin tidak banyak portal yang benar-benar mengarkibkan program, aktiviti atau kenyataan—terutamanya dalam sfera seni dan budaya.
Yang sering kita lihat hanyalah laporan hiburan yang menumpukan kenyataan artis (baca: pelakon), dibanjiri cerita sensasi, klik umpan dan laporan yang dangkal atau tidak wajar.
Antara yang paling hampir melakukan kerja pengarkiban secara konsisten ialah Jendela DBP, portal milik Dewan Bahasa dan Pustaka, yang giat mendokumentasikan program-program yang telah dan akan berlangsung.
Namun sebagai agensi kerajaan, kita maklum bahawa pemilihan dan kriteria penerbitan mereka terikat dengan garis tertentu.
Di titikbaca.my, kami mungkin akan meneruskan usaha pengarkiban yang sama—tetapi dengan pendekatan berbeza.
Apa yang kami tawarkan ialah keluwesan—keterbukaan terhadap genre, bentuk penulisan dan spektrum budaya yang lebih luas, merangkumi sastera, budaya pop dan seni.
Titik Baca tidak lahir daripada perancangan besar atau modal yang mewah.
Ia bermula daripada perbualan, ingatan lama, keberanian untuk mencuba dan keinginan untuk membaca budaya dengan lebih bertanggungjawab.
Kami sedar kami kecil dan masih bertatih. Namun jika ada satu perkara yang ingin kami lakukan dengan bersungguh-sungguh, ia akan menjadi tempat berhenti seketika—untuk membaca, merekod dan mengarkibkan budaya, satu titik pada satu masa.














One Comment
Tahniah.
Salam Sastera
Daripada : Ade Patriot