Malam 15 Mac 2026 itu sepatutnya mudah dijangka. Atau sekurang-kurangnya, begitulah sangkaan saya.
Di bawah gemerlap lampu Dolby Theatre di Los Angeles, ketika nama-nama besar Hollywood berarak dengan gaun sama tuksedo paling mahal, hati saya diam-diam sudah meletakkan harapan pada filem Sinners (2025) arahan Ryan Coogler.
Segalanya terasa berpaling ke arah filem itu. Dari segi momentum, sambutan penonton malah aura kemenangan yang sukar dijelaskan. Namun, dunia perfileman sememang gemar bermain teka-teki.
Saat One Battle After Another (2025) diumumkan sebagai pemenang besar malam itu, satu demi satu hingga akhirnya menggenggam enam piala Oscar, saya terdiam.
Antara kagum dan sedikit terpukul oleh kejutan yang tidak saya jangka.
Barangkali di situlah letaknya keindahan sebenar seni—ia tidak pernah tunduk sepenuhnya kepada ramalan manusia marhaen seperti saya.
One Battle After Another ialah sebuah filem aksi-thriller komedi dari Amerika Syarikat yang diterbitkan, ditulis dan diarahkan oleh Paul Thomas Anderson.
Filem ini mengambil inspirasi daripada sebuah novel, Vineland (1990) tulisan Thomas Pynchon. Karya ini sudah lama menghantui imaginasi Anderson sebagai seorang pengarah filem.
Menariknya, hasrat untuk mengadaptasi Vineland bukanlah sesuatu yang baru. Sejak awal 2000-an lagi, Anderson sudah menyimpan angan-angan itu.
Namun, apabila akhirnya ia direalisasikan, Anderson bukan sekadar menterjemah semula novel itu, malah beliau menyulam idea dan kisahnya sendiri ke dalam naratif, menjadikan filem ini terasa lebih peribadi dan segar.
Dari segi barisan pelakon pula, filem ini dibarisi nama-nama besar seperti Leonardo DiCaprio, Sean Penn, Benicio del Toro, Regina Hall, Teyana Taylor dan Chase Infiniti.
Gabungan pelakon berkaliber ini memberi nyawa kepada sebuah cerita yang bukan sahaja penuh aksi, tetapi juga diselitkan dengan humor tajam serta berlapis makna.
Namun, jika One Battle After Another bergerak dengan nada sedikit sinikal dan renungan politik halus, Sinners pula hadir dari dunia yang jauh lebih gelap lagikan mistik.
Berlatarkan tahun 1932 di Mississippi Delta, sebuah wilayah yang masih diselubungi bayang-bayang era Jim Crow—suatu norma sosial di Amerika Syarikat mengasingkan kaum kulit hitam dan kulit putih, sekaligus mempraktikkan ketidakadilan dan diskriminasi dalam masyarakat.
Filem ini membawa kita menyelusuri kisah dua beradik kembar seiras. Kedua-duanya dilakonkan oleh Michael B. Jordan.
Disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Hailee Steinfeld, Miles Caton, Jack O’Connell, Wunmi Mosaku, Jayme Lawson, Omar Benson Miller dan Delroy Lindo.
Namun di sebalik barisan pelakon mapan itu, Sinners sebenarnya berdiri lebih kukuh pada kekuatan jiwanya—ia mengajak penonton menyelami sesuatu sarat falsafahnya.
Filem ini bermula dengan sesuatu yang kelihatan sederhana, apabila sepasang kembar pulang ke kampung halaman mereka untuk membuka sebuah kelab malam yang mengumpulkan komuniti orang kulit hitam dan pencinta muzik blues.
Hakikatnya, malam itu perlahan-lahan berubah menjadi mimpi ngeri apabila mereka berdepan ancaman yang jauh lebih gelap daripada masa lalu mereka sendiri.
Apabila kelab malam itu diserang oleh makhluk drakula atau vampire, diketuai oleh watak bernama Remmick.
Ramalan Sinners lebih layak untuk kategori filem terbaik
Kekuatan Sinners bukan hanya pada ceritanya, tetapi pada lapisan falsafah yang dibawanya.
Ryan Coogler tidak sekadar membikin filem tentang vampire atau drakula berlandaskan keganasan semata.
Beliau mencipta metafora—”raksasa” sebenar dalam filem ini bukan sekadar makhluk mistik, tetapi bayangan kepada sejarah itu sendiri.
Era Jim Crow, trauma kolektif, penindasan dan ketakutan—semuanya seperti menjelma dalam bentuk literal dan mengancam.
Malah, seperti dinyatakan oleh Angelique Jackson dalam Variety, idea filem ini sendiri lahir daripada inspirasi peribadi Coogler terhadap muzik blues dan kenangan terhadap mendiang bapa saudaranya.
Ini menjadikan Sinners terasa sangat organik—bukan sekadar cerita, sebaliknya luahan rasa.
Menerusi satu sisi, muzik blues menjadi hiburan. Manakala melalui sisi lain pula, gambaran filem ini adalah suara luka yang tidak pernah benar-benar sembuh.
Walaupun mereka cuba meraikan hidup dengan bebas, masa lalu yang pahit tetap hadir. Seolah-olah tidak memberi ruang untuk mereka benar-benar bebas.
Metaforanya cantik, namun kejam.
Tambahan lagi, struktur cerita yang berlaku dalam satu malam menjadikan segala-galanya terasa getir.
Umpama hidup, kematian, harapan dan penyesalan dipadatkan dalam satu garis masa yang sempit.
Malah, penutup cerita melangkaui dekad kehidupan Sammie menunjukkan trauma itu tidak lenyap, sebaliknya hanya berubah bentuk.
Namun di sinilah juga letaknya kelemahan, pada hemat saya cukup besar—Sinners terlalu bergantung pada kekuatan tema. Sayangnya sedikit alpa dalam memperkukuh asas wataknya.
Punca Sinners tidak mampu meraih Filem Terbaik di Academy Awards ke-98
Walaupun falsafahnya dalam dan metaforanya unik, filem ini seakan-akan memperkenalkan watak-wataknya sekadar di permukaan.
Misalnya, Mary (lakonan Hailee Steinfeld) diperlihatkan sebagai wanita berdarah campuran boleh “lulus” sebagai kulit putih.
Namun persoalannya, sejauh mana konflik identitinya digali? Adakah pergolakan dalaman itu benar-benar dirasai atau sekadar disentuh sepintas lalu?
Begitu juga watak Annie (Wunmi Mosaku) digambarkan sebagai seorang pengamal ilmu hitam. Tetapi apakah latar kepercayaan dan perjalanan hidupnya? Mengapa dia berada di titik itu?
Bahkan tragedi kehilangan anaknya, Smoke. Sepatutnya adegan itu menjadi teras emosi hanya hadir sebagai bayang. Bukan luka yang benar-benar kita rasai.
Delta Slim (Delroy Lindo) pula, seorang pemuzik yang tanpa sejarah benar-benar mengakar. Kita melihat bakatnya, mendengar alunan muziknya, namun tidak benar-benar memahami perjalanan hidup yang membentuk suara itu.
Begitu juga dengan watak antagonis, Remmick (Jack O’Connell) sebagai makhluk halus (vampire).
Kehadirannya memang mengancam, namun persoalan lebih besar tidak pernah benar-benar dijawab,
Bagaimana dan mengapa dia boleh sampai ke Mississippi? Apakah latar sejarahnya? Dari mana asal kejahatan itu?
Kesemua watak ini diberitahu siapa mereka di dalam filem, tetapi tidak benar-benar diperlihatkan mengapa mereka menjadi begitu.
Sedangkan seperti dihuraikan oleh penulis barat, Tiffany Yates Martin, latar belakang watak (character’s backstory) dalam sesebuah penulisan mampu membentuk siapa diri mereka.
Tanpa asas itu, watak akan terasa samar. Umpama tidak punya roh dalam sebuah naratif.
Apabila latar belakang watak tidak mantap
Sinners ibarat sebuah rumah yang dibina dengan seni bina memukau—indah dari luar, penuh simbol dan makna sayangnya tiangnya tidak cukup dalam mencengkam tanah.
Atau mungkin lebih tepat, ia seperti lagu blues yang merdu, tetapi tanpa kisah di sebalik liriknya.
Kita dapat mendengar nadanya, sayangnya tidak benar-benar merasakan sakit yang dizahirkan.
Akhirnya, di sinilah dilema saya sebagai pencinta filem untuk Sinners—sebuah karya yang kaya makna, hakikatnya sedikit longgar pada akar.
Dan mungkin, dalam pertimbangan juri Academy Awards, kekuatan tema sahaja tidak mencukupi.
Mereka juga mencari cerita, bukan sahaja indah untuk difikirkan, tetapi juga utuh untuk dirasakan.
Serta dalam sebuah karya kreatif, apabila latar belakang (backstory) tidak cukup mantap, cerita itu akan kehilangan graviti.
Mungkin naratif itu masih terbang tinggi dengan idea dan gaya, namun tidak cukup berat untuk benar-benar melekat dalam jiwa penonton.
Barangkali di situlah saya belajar sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menilai filem per-se.
Apabila menulis sesebuah karya, bukan sahaja idea perlu tinggi, tetapi akar perlu dalam serta mencengkam.
Hal ini kerana cerita yang baik bukan sekadar memukau di permukaan, ia perlu mampu tinggal lama dalam ingatan.
Malah sebagai penulis, saya harus sentiasa ingat: jangan hanya membina langit yang indah, tetapi lupa menanam tanah yang kukuh di bawahnya.
Pada akhirnya, perkara membuat sesebuah cerita hidup bukanlah apa yang kita tunjukkan semata-mata, tetapi apa tersembunyi di baliknya.













