Jack Malik dedah cabaran terjemah puisi AGI dalam Viva Poesie

Jackmalik

KUALA LUMPUR — Penterjemah dan penyair, Jack Malik, berkongsi cabaran dan pendekatan beliau dalam menterjemah karya penyair eksperimental Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) menerusi buku Viva Poesie.

Menurut beliau, antara cabaran terbesar adalah mengekalkan roh asal puisi tanpa “mencurangi” bahasa sumber, khususnya dalam karya AGI yang terkenal dengan gaya eksperimental dan permainan bahasa.

“Cara saya mengatasi perkara ini adalah dengan mengaplikasikan teori Tri-V AGI sendiri—menekankan aspek vokal melalui ritma dan rima, sambil memastikan ‘rentak’ dalam teks sasaran tidak jauh berbeza,” katanya ketika dihubungi Titik Baca semalam.

Dalam masa sama, Jack mengakui bahawa kesetiaan terhadap aspek visual dan verbal tidak dapat dikekalkan sepenuhnya dalam proses penterjemahan.

Beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara makna dan keindahan bunyi dalam terjemahan, dengan mengambil pendekatan sederhana—tidak terlalu terikat kepada teks asal, tetapi tetap menghormati karya tersebut.

Mengulas kepentingan penerbitan dwibahasa, beliau menyifatkan usaha penterjemahan sebagai kerja penting dalam mendokumentasikan dan membuka ruang kepada khalayak lebih luas untuk mengenali sastera tempatan.

“Pendek cerita, kerja kita ialah membuka pintu. Jika kita tidak membuka pintu, siapa yang boleh masuk?” soalnya.

Viva Poesie dijangka diperkenalkan kepada khalayak sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini.

*Nantikan wawancara penuh Titik Baca bersama Jack Malik yang akan disiarkan pada 5 April 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *