Mokhtar 1969: Seriau, misteri, menggegar

Mokhtar1969

Dalam keriuhan dunia kesusasteraan tempatan yang kian dibanjiri dengan karya Artificial Intelligence (AI) oleh penulis pemula, Mokhtar 1969 terbitan Prolog Media muncul dengan bergaya, membuktikan bahawa bakat yang dianugerahkan tuhan tidak akan pernah dapat dikalahkan oleh teknologi.

Novel ini bukan sekadar kisah polis dan penjenayah tetapi sebuah renungan panjang tentang keadilan, amanah, integriti dan rasa tanggungjawab yang seharusnya menjadi pegangan seluruh warganegara.

Amirul Idham menyerlahkan kematangannya dalam dunia penulisan apabila menyulam sebuah kisah seriau misteri dengan begitu indah dan puitis, membuatkan pembacanya tenggelam dalam bait-bait kata yang disusun menjadi naratif.

Watak utama, Mokhtar diperkenalkan dengan begitu terampil sebagai anggota polis yang berkaliber dan berjaya menyelesaikan begitu banyak kes pembunuhan dalam masa yang singkat.

Mokhtar juga merupakan anggota polis termuda yang menggalas jawatan inspektor dalam sejarah pada tahun 1969.

Kredibiliti Mokhtar tercabar apabila perlu berhadapan dengan kes pembunuhan bersiri yang masih belum dapat diselesaikan.

Mokhtar yang memberi gelaran Pembunuh Simbol terhadap pembunuh yang sedang diburunya itu berkobar untuk menyelesaikan kes, namun segala yang dirancang tidak terjadi seperti yang diinginkan.

Mokhtar akhirnya tewas tanpa dapat mendedahkan kepada dunia siapa sebenarnya Pembunuh Simbol.

Dia ditemui meninggal dunia akibat jatuh daripada bangunan dan sejak itu, kes pembunuhan bersiri yang disiasatnya juga terhenti.

Rakan setugasnya yang buntu kerana tiada sebarang petunjuk kemudiannya menghentikan siasatan. Fail kes Pembunuh Simbol ditutup dan diklasifikasikan sebagai kes yang tak pernah selesai.

Namun tidak disangka, 56 tahun kemudian—pada 2025—Mokhtar muncul semula tanpa mengetahui dunia sudah begitu banyak berubah.

Mokhtar yang mengaku datang dari 1969 itu nampaknya tidak datang bersendirian. Negara mula dikejutkan dengan berita kes pembunuhan bersiri yang mirip dengan kes pada 1969.

Mokhtar yang tidak dimakan usia pada 2025 dan bertegas bahawa dia adalah seorang inspektor polis yang diletakkan di bawah pengawasan Inspektor Kanan (ASP) Dahari bin Rahmat, Ketua Unit D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Bukit Aman.

Ketepatan Mokhtar memperincikan segala maklumat sulit tentang Pembunuh Simbol meletakkan pasukan Siasatan Jenayah dalam dilema.

ASP Dahari akhirnya mengarahkan agar Inspektor Alia, Fizi dan Haqimie untuk sama-sama mengawasi segala pergerakan Mokhtar di samping terus menyiasat kes pembunuhan bersiri Symbol Killer yang muncul secara tiba-tiba.

Melalui novel ini, penulis berjaya menghidupkan suasana lorong-lorong gelap di Kuala Lumpur dengan begitu realistik.

Pembaca dapat merasai bau, warna dan bunyi yang digambarkan secara tepat. Ia menjadikan pembacaan sangat visual diikuti dengan naratif yang bersinematografi.

Kuala Lumpur tidak sahaja digambarkan sebagai ibu kota yang pesat membangun tetapi ia juga menghidangkan sisi gelap yang kotor pada malam hari.

Hujan yang menjadi pembuka pada hampir setiap babak membawakan simbol semiotik kepada nasib malang Mokhtar itu sendiri yang sedang celaru dalam mencari kebenaran tentang pembunuhan bersiri yang sedang disiasatnya.

Bukti dan petunjuk didedahkan secara pragmatik membuatkan Mokhtar sendiri keliru dan seperti tidak mahu “keluar” daripada kepercayaannya sendiri.

Dia tidak begitu bersungguh dalam membuktikan kebenaran sehingga menimbulkan syak wasangka kepada rakan sepasukannya. Mereka hampir mahu percaya bahawa Mokhtar dan Pembunuh Simbol adalah orang yang sama.

Bahasa yang digunakan oleh Amirul Idham dalam Mokhtar 1969 ini begitu puitis dan indah—agak kontradik dengan genre buku yang sedang ditulisnya.

Bahasanya begitu membuai perasaan sehingga pembaca lupa mereka sedang membaca sebuah kisah yang membangkitkan gejolak rasa.

“Hujan lebat mulai reda, tetapi gerimis halus masih bersisa. Jalan basah berkilau. Cahaya lampu neon dari panggung wayang dan kedai kopi memantul di atas permukaan lopak hitam. Lampu neon di Chow Kit, cahayanya berkelip-kelip seperti nafas terakhir sebuah bandar yang sudah mahu ‘tidur’, bau asap rokok bercampur dengan minyak bas mini, menjadi bau kebiasaan yang dihidu oleh warga kota. Bunyi enjin vespa dan hon bas mini terakhir bercampur dengan suara radio yang memutarkan lagu P. Ramlee dan ‘Pop Yeh yeh’, seakan-akan menjadi lagu runut bandar Kuala Lumpur pada setiap malam.”

Perenggan pembukaan sebuah novel thriller yang begitu romantis, mencangkuk rasa, berimpak dan signifikan kepada teras penulisan Amirul Idham.

Frasa “Kuala Lumpur pada waktu malam selalu punya dua wajah; satu bercahaya, satu berdarah. Dan malam ini adalah malam berdarah” pada Bab 10 membuktikan bahawa penulis adalah seseorang yang benar-benar matang dalam menata tulisannya di dalam buku ini.

 Penulis bijak menyulam trivia sejarah tentang kereta keluaran pertama negara, nama asal Balai Polis Bukit Aman serta peristiwa 13 Mei yang berkait rapat dengan kehidupan Mokhtar itu sendiri.

Penulis juga secara subtle memberi tribute kepada legenda pemain bola sepak negara iaitu Dato’ Mohd Mokhtar bin Dahari yang lebih mesra dikenali dengan nama Mokhtar Dahari dengan menggabungkan dua watak—Inspektor Mokhtar dan ASP Dahari.

Novel ini juga menyentuh isu integriti, rasuah dan pecah amanah dalam kalangan anggota polis yang menjadi nanah yang membarah.

Hubungan antara polis dan ahli kongsi gelap adalah hubungan terlarang yang boleh merosakkan negara dan perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.

Mokhtar, dalam memburu Pembunuh Simbol dan juga Symbol Killer, sempat menumpaskan beberapa orang pegawai polis yang korup sebagai subplot yang memacu graf lonjakan adrenalin pembaca.

Mokhtar 1969 diolah dengan aliran tidak linear tetapi langsung tidak rumit. Walaupun berselang dengan kisah pada tahun 1969 dan 2025, setiap bab digarap dengan kemas dan terperinci.

Pembaca dapat mengikuti alur cerita dengan tenang dan memahami setiap babak yang dipersembahkan tanpa rasa keliru.

Komposisi watak dalam setiap babak juga ditulis dengan bijak kerana mise-en-scenenya begitu menjadi.

Plot yang digarap dengan kemas, dialog-dialog yang ditulis dengan bermakna, latar yang tepat, elemen saspen dan misteri yang berkesan dan penulisan yang matang adalah resipi utama untuk mengangkat buku ini pada tahap yang berbeza.

Mungkin tidak keterlaluan untuk novel ini dinobatkan sebagai buku thriller terbaik negara setelah lebih sedekad genre ini kemarau dalam lingkungan cerita yang sedikit “kering” dan kaku penulisannya.

Mokhtar 1969 karya yang berpotensi cerah untuk melonjakkan kembali nama Amirul Idham dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Bagi mereka yang mencari karya yang mampu memberi nikmat pembacaan yang begitu memuaskan, inilah novel thriller misteri yang perlu anda miliki.

Namun, ada satu hal yang lucu. Ironinya, karya ini memang ditulis oleh AI—Amirul Idham!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *