Ada kampung yang kita ingat kerana sawahnya. Ada yang dikenang kerana sungainya. Ada pula kampung yang terus hidup dalam ingatan kerana cerita-cerita yang pernah berlegar dari mulut ke mulut.
Kampung Tokku bagi S.M. Zakir barangkali tergolong dalam kategori yang terakhir.
Di situlah tersimpan kenangan zaman kanak-kanak, kisah keluarga, cerita tentang manusia dan alam, serta pelbagai kisah seram yang pada suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Semasa kecil, S.M. Zakir sering mendengar kisah-kisah seram yang berlaku di kampung halamannya.
Namun, menariknya, beliau sendiri tidak pernah melihat susuk makhluk yang diceritakan. Apabila dewasa, pandangannya terhadap kisah-kisah tersebut berubah.
Cerita yang dahulu kedengaran seperti kisah mistik mula dilihat sebagai gambaran tentang hubungan manusia dengan alam dan cara sesebuah masyarakat membina kepercayaan serta tradisinya.
Bagi S.M. Zakir, alam bukan sekadar tempat manusia mencari makanan, membina rumah atau mendapatkan keperluan hidup.
Alam merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat itu sendiri. Daripada hubungan yang begitu rapat, lahirlah pelbagai kepercayaan terhadap fauna, flora dan unsur-unsur alam yang bersifat mistik.
Kepercayaan tersebut kemudiannya berkembang menjadi pantang larang dan aturan kehidupan yang secara tidak langsung mengajar manusia supaya menghargai serta menghormati alam.
Di sinilah muncul perbezaan antara mistik dan magis dalam pemikiran S.M. Zakir. Mistik dilihat sebagai sesuatu yang datang dari alam atau turun dari langit, manakala magis pula merupakan sesuatu yang telah sedia ada dalam diri manusia dan masyarakat.
Dalam penulisannya, beliau lebih cenderung melihat perkara tersebut melalui sisi โpsikiโ, iaitu corak fikir dan rasa jiwa manusia yang berbaur dengan ekosistem semula jadi.
Kenangan yang tersimpan sejak zaman kanak-kanak pula semakin berkembang dalam fikiran sehingga akhirnya mendorongnya untuk menulis.
Kampung Tokku sendiri mempunyai sejarah keluarga yang cukup menarik.
Nama โTokkuโ berasal daripada panggilan terhadap nenek sebelah ibunya. Kisah keturunan keluarga turut membawa pembaca merentasi Kelantan, Terengganu dan Pattani.
Terdapat pula cerita tentang Syed Kuning, moyang S.M. Zakir yang dikatakan pernah menjadi pegawai penjara pada zaman British sebelum akhirnya sampai ke Hulu Kelantan.
Namun begitu, beliau sendiri mengakui bahawa sebahagian daripada ingatan dan cerita tersebut hanyalah kemungkinan kerana sumber yang sahih sudah tiada.
Yang menjadikan kisah keluarga ini lebih menarik ialah cerita tentang kehebatan Syed Kuning. Menurut cerita saudara-mara, ketika sekumpulan perompak datang menyerang kampung menggunakan perahu, Syed Kuning hanya berdiri di tepi sungai sebelum perahu-perahu tersebut berpatah balik.
Pada masa yang sama, terdapat juga cerita yang menggambarkan beliau sebagai seorang yang gemar berjudi dan bertarung serta mempunyai ilmu silat.
Antara sejarah, cerita keluarga dan cerita yang diwariskan secara lisan, Syed Kuning akhirnya menjadi sebahagian daripada legenda Kampung Tokku.
Namun, jika ada satu tempat yang paling kuat menyimpan aura misteri, tempat itu ialah rumah Tokku.
Rumah tersebut merupakan rumah besar peninggalan Tokku Ismail, diperbuat daripada kayu cengal dan bertiang tinggi.
Pada waktu siang, rumah itu menjadi tempat anak cucu berkumpul, bermain dan berehat. Pangkin di anjung pula menjadi tempat Tokku duduk sambil menghisap rokok daun.
Segalanya kelihatan biasa. Tetapi apabila malam menjelma, suasananya berubah. Padang di hadapan rumah menjadi gelap, bunyi unggas kedengaran berselang-seli dan ruang di bawah rumah yang gelap menambahkan rasa seram.
Lebih menarik perhatian ialah sebuah bilik di tengah rumah. Sejak kecil, S.M. Zakir mendapati tiada sesiapa tidur di bilik tersebut.
Lampunya juga tidak pernah dipasang. Menurut cerita, bilik itu pernah digunakan untuk memandikan jenazah ahli keluarga. Lama-kelamaan, bilik tersebut dikaitkan pula dengan kepercayaan tentang saka atau penjaga keluarga.
Penjaga yang dikatakan menghuni rumah itu pula mempunyai rupa seekor harimau tua yang besar dan berkaki tempang.
Ada penduduk kampung yang mendakwa pernah melihat bayang harimau belang di atas bumbung rumah Tokku.
Tetapi SM Zakir sendiri tidak menelan cerita tersebut secara bulat-bulat. Beliau mengakui kemungkinan cerita itu direka-reka.
Sikap ini menjadikan kisah Kampung Tokku lebih menarik kerana pembaca dibiarkan berada di antara percaya dan tidak percaya.
Bukan itu sahaja. Ada pula cerita tentang Pak Lebai yang dipercayai sebagai harimau jadian, manusia pada waktu siang dan harimau pada waktu malam.
Ada kisah kelambu yang ditarik dari celah papan lantai, seolah-olah ada tangan ghaib yang mahu menguji orang luar daripada keluarga Tokku.
Pak Do pula dikatakan membela โanak nyirโ, makhluk halus berbentuk harimau yang diberi makan bertih melalui celah lantai rumah.
Jika difikirkan, semua cerita ini mungkin kedengaran aneh kepada generasi hari ini. Namun, bagi masyarakat Kampung Tokku pada era 1960-an dan 1970-an, cerita-cerita tersebut hidup bersama mereka.
Pada waktu itu, lampu jalan masih belum menerangi kampung kecuali di kawasan deretan kedai.
Apabila malam tiba, kampung berubah menjadi dunia yang gelap dan penuh tanda tanya.
Main Puteri, pelesit, hantu raya, buaya putih penunggu sungai dan pelbagai kisah lain menjadi bahan cerita apabila keluarga berkumpul dan bermalam bersama.
Tetapi mungkin yang paling penting daripada semua kisah itu bukanlah persoalan sama ada harimau jadian benar-benar wujud atau siapa yang menarik kelambu pada waktu malam.
Yang lebih menarik ialah bagaimana cerita-cerita tersebut membentuk ingatan manusia.
Kampung Tokku hari ini tidak lagi sama. Banyak kisah yang pernah hidup di situ sudah hilang ditelan waktu.
Hubungan dengan sebahagian saudara-mara juga semakin terputus. Namun, melalui tulisan, kenangan yang hampir hilang itu kembali bernyawa.
Rumah lama, pangkin, sungai, padang, suara orang tua dan cerita-cerita seram yang pernah didengar ketika kecil semuanya menjadi serpihan masa lalu yang disusun kembali melalui ingatan.
Maka, Kisah Kampung Tokku bukan sekadar kisah tentang hantu atau perkara mistik.
Ia ialah kisah tentang sebuah dunia yang pernah wujud, tentang manusia yang hidup rapat dengan alam dan tentang bagaimana cerita diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Apa yang dahulu dianggap sebagai cerita seram akhirnya menjadi bahan renungan tentang budaya, ingatan dan jiwa manusia.
Barangkali itulah magis sebenar Kampung Tokku.
Bukan kerana harimau ghaib yang dikatakan berkeliaran pada malam hari, tetapi kerana sebuah kampung yang hampir hilang masih mampu hidup semula melalui ingatan dan kata-kata seorang penulis.
Dapatkan Kisah Kampung Tokku di Shopee Nusa Centre.












