Sesuatu yang pada mulanya merupakan ruang luas terbuka, kini sudah berpagar, malah sebagai pintu yang bukan lagi untuk bebas dimasuki.
Saya membayangkan, penyair T. Alias Taib (Allahyarham) sedang duduk di atas sebatang rhu tua yang sudah lama tumbang, angin timur laut sepoi-sepoi bahasa, di hadapan pantai Seberang Takir, Terengganu.
Merenung jauh, lebih ke hadapan lagi, sebahagian Laut China Selatan, membiru. Entah apa-apa, bagai ingin disimpannya pada horizon, kaki langit.
Sebatang ranting kecil di tangan. Tentu ranting rhu juga, yang luruh. Dikuas-dikuas, dikais-kaisnya di kaki, di pasir. Entah apa-apa ingin dilukis atau untuk membayangkan suaranya. Namun, tentu bukan huruf sebagai puisi.
Barangkali simpang-siur, kalang-galang pada kecamuk rajah itu manifestasi hatinya, setelah terkejut, mengetahui pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib ke-3 bersempena namanya sudah berubah, berperaturan baharu.
Di luar duga dan jangka. Terbatas. Dihadkan bagi yang berusia pada 45 tahun dan ke bawah sahaja pada tarikh tutupnya.
“Mengapa harus begitu?”
Monolog, pertanyaan yang hilang, terbang dalam angin, berlerai kecai tak berjawapan.
Soalan itu barangkali sederhana. Tetapi dalam kesusasteraan, ada pertanyaan yang kelihatan kecil tetapi sebenarnya membawa kita kepada persoalan yang lebih besar tentang bagaimana kita memahami karya, penulis, usia, pengalaman, bakat dan masa depan sastera itu sendiri.
Mengapa harus dihadkan setakat umur 45 sahaja?
Apakah yang begitu istimewa pada angka 45 sehingga boleh dijadikan sempadan antara seseorang penyair yang masih dianggap layak dengan seseorang penyair yang tiba-tiba tidak lagi layak menyertai sesebuah sayembara puisi?
Apakah yang berubah secara mendasar pada diri seseorang penyair apabila jarum jam melewati tengah malam pada hari ulang tahun ke-46?
Adakah selepas berusia 46 tahun, seseorang penyair itu kehilangan keupayaan untuk mencipta puisi? Adakah pengalaman hidup yang bertambah menjadikan puisinya kurang bernilai?
Atau, adakah kesusasteraan mempunyai suatu hukum tersembunyi bahawa daya kreatif mesti berhenti pada usia tertentu? Terutama, jika misal, memadailah sekadar dan setakat itu sahaja, jika usia sudah pun mencecah 46 tahun.
Tentu tidak.
Usia manusia bergerak secara beransur-ansur, tetapi peraturan kadangkala membuatnya kelihatan seperti bergerak secara mendadak.
Hari ini seseorang berusia 45 tahun dan masih diterima sebagai peserta. Esok, apabila usianya genap 46 tahun, dia menjadi tidak layak.
Sedangkan, manusia yang sama, dengan pengalaman yang sama, pengetahuan yang sama, ingatan yang sama, bakat yang sama dan kecintaan yang sama terhadap puisi, tidak berubah menjadi manusia lain hanya kerana bertambah satu angka pada usianya.
Di sinilah persoalan itu menjadi lebih daripada sekadar persoalan teknikal tentang syarat pertandingan.
Adakah angka umur benar-benar ukuran yang munasabah untuk menentukan nilai seseorang penyair?
Adakah besar sangat bezanya antara usia 40 dengan 45?
Begitu juga untuk apa dibezakan lompang usia antara 45 dengan 50? Tiada apa-apa faedah, walau sebesar jari kelengkeng, dari segi reflektif, kepentingan atau signifikannya terhadap kesusasteraan tanah air.
Lainlah halnya, jika sesebuah pertandingan itu memang dikhususkan kepada Sastera Kanak-kanak atau Sastera Remaja yang mempunyai khalayak, pendekatan, tahap perkembangan dan konsep penciptaan tersendiri.
Dalam keadaan demikian, kategori umur boleh mempunyai alasan pedagogi, psikologi dan sosiobudaya yang lebih jelas.
Tetapi puisi sebagai puisi tidak semestinya menjadi lebih baik hanya kerana penyairnya berusia di bawah 45 tahun, dan tidak pula menjadi lebih buruk hanya kerana penyairnya telah melepasi angka tersebut.
Puisi tidak mengenal tarikh lahir. Puisi mengenal pengalaman, penghayatan, kepekaan, bahasa, pemikiran, imaginasi, renungan dan kemampuan seorang penyair menemukan sesuatu yang mungkin tidak ditemukan oleh orang lain.
Ada puisi yang lahir daripada usia muda, tetapi ada pula puisi yang menemukan kedalamannya setelah seseorang penyair melalui perjalanan hidup yang panjang.
Ada perkara yang hanya dapat dirasakan setelah seseorang kehilangan, berpisah, mengalami kegagalan, menyaksikan perubahan zaman, membesarkan anak, menghadapi kematian, mengenali kesunyian, atau sekadar belajar memahami dirinya sendiri.
Dengan kata lain, usia dan pengalaman bukan musuh kreativiti.
Dalam banyak keadaan, pengalaman justeru menjadi bahan bakar kepada kreativiti. Termasuk juga, usia, justeru turut kuat memangkin kematangan.
Seorang penyair yang lebih berusia mungkin membawa ke dalam puisinya dunia yang tidak dimiliki oleh penyair yang lebih muda.
Dia mungkin mempunyai ingatan tentang zaman yang telah hilang, manusia yang sudah tiada, tempat yang sudah berubah, bahasa yang semakin jarang digunakan, atau pengalaman sejarah yang tidak lagi dialami oleh generasi baharu.
Semua itu boleh menjadi sumber puisi. Jika kesusasteraan mahu menjadi catatan batin sesuatu masyarakat, mengapa pula sebahagian daripada pemilik pengalaman tersebut perlu dikeluarkan hanya kerana umur mereka telah melewati angka 45, atau 46?
Lebih penting daripada itu, apakah sebenarnya tujuan sesebuah sayembara puisi?
Bukankah matlamat utamanya ialah menemukan karya yang bermutu tinggi? Bukankah yang hendak dicari ialah puisi yang mempunyai kekuatan bahasa, pemikiran, imaginasi, keaslian, pengucapan dan daya renungan?
Bukankah masyarakat dan kesusasteraan tanah air yang sepatutnya menjadi penerima manfaat daripada karya-karya tersebut?
Jika demikian, mengapa pula umur penciptanya harus menjadi penghalang?
Bukankah lebih wajar sesebuah pertandingan berkata kepada semua penyair, “Datanglah dengan puisimu, dan biarlah puisimu berbicara, walaupun tentang diri, walaupun hanya untukmu.”
Bukan untuk melihat siapakah, misalnya, yang berusia sehingga 45 tahun sahaja yang mampu berwibawa mencipta puisi bernilai tinggi.
Manakala yang berusia 46 tahun, misalnya, terkedu menggigit jari bagai mengeluh pada diri, “Ah, aku baru sahaja terlepas satu malam berusia 45 tahun. Pagi ini sudah berusia 46 tahun.”
Gambaran itu mungkin kedengaran lucu. Tetapi di sebalik kelucuan tersebut terdapat suatu persoalan yang tidak lucu sama sekali—betapa arbitrari sesuatu angka boleh menentukan hak seseorang untuk memasuki ruang persaingan sastera.
Seolah-olah kreativiti mempunyai pintu pagar dan penjaganya memegang sebuah jam.
Jam menunjukkan 45 tahun—silakan masuk. Jam menunjukkan 46 tahun—maaf, pintu sudah ditutup. Sedangkan puisi tidak pernah bergerak mengikut jam seperti itu.
Sepanjang sejarah kesusasteraan dunia, kita mengenal penyair dan penulis yang terus menghasilkan karya penting setelah melalui usia muda. Bahkan, ada karya yang lahir daripada kematangan usia, pengalaman dan renungan yang panjang.
Hal ini tidak bermaksud penyair muda kurang penting. Sebaliknya, penyair muda membawa tenaga, keberanian, percubaan dan perspektif baharu yang sangat diperlukan.
Tetapi mengiktiraf tenaga muda tidak semestinya perlu dilakukan dengan menutup pintu kepada mereka yang lebih berusia. Kedua-duanya boleh berjalan berselari bersama-sama.
Sastera memerlukan yang muda dan yang lebih berusia. Sastera memerlukan suara yang baru muncul dan suara yang telah lama berjalan.
Sastera memerlukan keberanian orang muda, tetapi pada masa yang sama memerlukan ingatan orang yang lebih tua.
Di situlah kekayaan sebenarnya.
Jangan sampai usaha untuk memberikan ruang kepada generasi baharu akhirnya menghasilkan suatu pemisahan yang tidak diperlukan antara generasi.
Jika benar tujuan had umur itu adalah untuk memberi peluang kepada penyair muda, masih terdapat banyak cara lain untuk melakukannya tanpa menutup penyertaan penyair yang lebih berusia.
Penganjur boleh menyediakan kategori khas, hadiah khas, pengiktirafan penyair baharu atau ruang pembinaan bakat.
Semua itu lebih konstruktif daripada menetapkan suatu garis umur yang secara mutlak menafikan penyertaan seseorang.
Malah, jika benar pertandingan itu mahu menemukan bakat baharu, karya yang baik tidak sepatutnya ditakuti oleh karya daripada penyair yang lebih berpengalaman.
Sebaliknya, pertemuan antara pelbagai generasi boleh menjadikan sesebuah sayembara lebih hidup. Penyair muda dapat berhadapan dengan tradisi, sementara penyair yang lebih berusia dapat berhadapan dengan tenaga baharu.
Pertandingan akhirnya menjadi bukan sekadar tempat memilih pemenang, tetapi sebuah ruang pertemuan generasi kesusasteraan.
Itulah yang lebih besar nilainya.
Sedangkan, pada sepanjang sayembara sebelum ini, Hadiah Puisi T. Alias Taib yang ditawarkan terbuka kepada umum rakyat Malaysia tiada pun mengalami apa-apa masalah, termasuk pada segi umur untuk turut menyertai.
Persoalannya, jika sistem terbuka sebelum ini tidak menimbulkan masalah yang besar, apakah keperluan mendesak untuk mengubahnya?
Perubahan tidak semestinya salah. Setiap penganjur berhak menilai dan memperbaiki bentuk pengelolaan sesuatu pertandingan. Tetapi setiap perubahan juga wajar mempunyai rasional yang jelas, khususnya apabila perubahan tersebut menyentuh asas penyertaan.
Dalam dunia kesusasteraan, sesuatu peraturan bukan sekadar mekanisme pentadbiran. Justeru, turut membawa suatu pandangan tentang siapa yang dianggap penting, siapa yang diberi ruang dan bagaimana kita melihat proses penciptaan karya.
Oleh sebab itu, syarat pertandingan juga sebenarnya mempunyai nilai pemikiran.
Apabila umur dijadikan sempadan, kita bukan hanya menetapkan syarat penyertaan. Secara tidak langsung, kita sedang membuat suatu andaian bahawa lingkungan usia tertentu lebih sesuai untuk sesebuah pertandingan puisi.
Andaian seperti ini perlu dipersoalkan kerana puisi bukan bidang yang mempunyai sempadan usia yang jelas seperti kategori pertandingan sukan tertentu.
Puisi tidak mempunyai usia persaraan.
Penyair tidak bersara daripada menjadi penyair hanya kerana umur meningkat. Bahkan, mungkin ada penyair yang semakin memahami puisinya sendiri setelah bertahun-tahun menulis.
Mungkin ada yang pada usia muda hanya mengejar keindahan bahasa, tetapi pada usia yang lebih matang mula memahami kesunyian.
Mungkin ada yang dahulu menulis tentang dunia, tetapi kemudian mula menulis tentang kehilangan. Mungkin ada yang dahulu mencari suara, tetapi akhirnya menemukan keheningan.
Semua itu juga sastera.
Lebih-lebih lagi belum pernah terjadi keajaiban rungutan dalam dunia sastera bahawa golongan remaja dan belia adalah tidak sesuai membaca puisi daripada karya hasil cipta daripada golongan dewasa atau yang sudah tua usia.
Mengapa kita tidak melihat hal itu sebagai sesuatu yang aneh?
Jika seorang remaja boleh membaca Shakespeare, mengapa dia tidak boleh membaca puisi seorang penyair berusia 60 tahun?
Jika seseorang anak muda boleh membaca karya seorang sasterawan yang telah meninggal dunia puluhan atau ratusan tahun lalu, mengapa dia perlu dilindungi daripada membaca puisi seseorang yang hanya beberapa tahun lebih tua daripadanya?
Karya sastera tidak mempunyai umur sebagaimana manusia mempunyai umur. Yang dibaca ialah karya. Yang dinilai ialah karya. Yang diwariskan ialah karya.
Penyair mungkin berusia 25 tahun, 45 tahun, 55 tahun atau 75 tahun, tetapi setelah puisinya berada di tangan pembaca, umur penyair itu bukan lagi perkara utama yang menentukan pengalaman pembacaan.
Pembaca berhadapan dengan bahasa, fikiran, emosi, pengalaman dan dunia yang dibina oleh puisi tersebut. Bukan pada soal angka.
Maka, kalau alasan untuk mengehadkan umur ialah untuk menghasilkan karya yang dekat dengan generasi muda, alasan itu masih boleh dipersoalkan.
Generasi muda tidak semestinya hanya memerlukan karya yang dihasilkan oleh orang muda. Mereka juga memerlukan kesempatan membaca pengalaman daripada generasi yang lebih tua.
Di situlah berlaku pewarisan pemikiran dan pengalaman. Kesusasteraan yang sihat bukan kesusasteraan yang memisahkan generasi. Kesusasteraan yang sihat ialah kesusasteraan yang mempertemukan generasi.
Ada satu lagi perkara yang barangkali lebih penting.
Pertandingan sastera tidak seharusnya terlalu cepat melihat manusia melalui kategori pentadbiran sehingga terlupa melihat manusia sebagai sumber pengalaman dan penciptaan.
Angka umur mudah dicatat dalam borang penyertaan. Tetapi bakat tidak mudah dicatat. Pengalaman tidak mudah diukur. Kedalaman pemikiran tidak boleh ditentukan dengan nombor. Keaslian puisi pula tidak pernah muncul kerana seseorang memenuhi syarat umur tertentu.
Jika tujuan akhirnya ialah mencari puisi yang baik, biarlah puisi itu yang menentukan. Juri menilai. Karya bertanding. Kualiti menjadi ukuran. Dengan cara demikian, pertandingan benar-benar menjadi pertandingan puisi. Bukannya pertandingan umur.
Pihak penganjur sewajarnya meminda semula syarat atau peraturan yang kurang bijaksana itu. Lebih-lebih lagi bagi kepentingan dan signifikan secara terus-menerus bagi kepentingan dan wawasan masa depan sastera Malaysia.
Meminda syarat tersebut bukan bermaksud menolak golongan muda. Sebaliknya, bermaksud memberikan ruang yang lebih luas kepada sastera.
Golongan muda, jika benar-benar perlu berasaskan motif atau dasar tertentu, tetap boleh diberikan perhatian melalui kategori atau hadiah tertentu. Jika itu benar-benar menjadi tujuan penganjuran.
Tetapi janganlah atas nama memberikan ruang kepada golongan muda, ruang kepada golongan lain pula ditutup.
Dalam sebuah dunia kesusasteraan yang sedang berusaha memperluas pembacaan, memperbanyak penciptaan dan mengukuhkan kedudukan puisi dalam masyarakat, kita sepatutnya membuka sebanyak mungkin pintu, bukan menambah pagar.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), misalnya, dapat dicontohi. Ketika menganjurkan Pertandingan Penulisan Kreatif DBP bagi semua genre sastera kreatif baru lalu, DBP menetapkan dengan mengehadkan jumlah baris pada puisi.
Lalu dipersoal dan ditegur oleh kalangan penulis kerana syarat itu ternyata mengekang pemikiran dan keativiti. Justeru yang lebih penting, mutu puisi atau jumlah baris?
Ketua Pengarah DBP tanpa rasa tergugah tidak mempertahankan konsep yang telah ditetapkan, terus bersikap terbuka menerima teguran dan pandangan. Suatu sikap kepimpinan yang telus dan terpuji.
Dan barangkali di sinilah kita kembali kepada T. Alias Taib.
Penulis masih membayangkan, beliau duduk di atas sebatang rhu tua yang sudah lama tumbang itu. Angin timur laut terus bertiup. Laut China Selatan terus membiru. Ranting kecil masih di tangannya.
Mungkin beliau tidak berkata apa-apa. Mungkin beliau hanya menguis pasir. Mungkin di hadapannya, simpang-siur garis yang dilukis oleh ranting itu bukanlah rajah. Mungkin itu sebenarnya sebuah puisi yang belum sempat ditulis. Atau, mungkin sebuah pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan panjang.
“Mengapa harus begitu?”
Penulis tidak tahu, apakah jawapan yang akan diberikannya.
Tetapi, jika puisi adalah kebebasan manusia untuk menemukan makna melalui bahasa, barangkali kita perlu berhati-hati sebelum menjadikan umur sebagai pintu masuk dan pintu keluar daripada dunia puisi. Sebab akhirnya, yang tinggal daripada seseorang penyair bukan angka usianya.
Yang tinggal ialah puisinya.
Apabila seseorang penyair sudah tiada, puisinya tidak bertanya, berapa umur penciptanya ketika puisi itu ditulis. Puisi hanya bertanya kepada kita, “Adakah aku masih mampu membuat manusia berfikir, merasa dan melihat dunia dengan cara yang sedikit berbeza?”
Jika jawapannya ya, mengapa kita harus bertanya dahulu, “Berapa umur penyair ini?” Bukankah lebih baik kita bertanya, “Seberapa baik puisinya?”
Itulah barangkali pertanyaan yang lebih adil kepada puisi. Dan lebih adil kepada T. Alias Taib.













