Nafas baharu untuk untuk karya agung Melayu

Pengkisahansulalatussalatin

Ada satu persoalan yang sering timbul apabila kita berbicara tentang karya-karya agung Melayu. Mengapa ramai generasi muda mengenali One Piece, Naruto atau Bleach tetapi tidak mengenali Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Hikayat Merong Mahawangsa?

Jawapannya mungkin bukan kerana mereka tidak berminat terhadap dunia sejarah atau sastera. Sebaliknya, cara karya-karya tersebut dipersembahkan sudah tidak lagi seiring dengan cara generasi hari ini menikmati sesuatu kandungan.

Dunia sudah berubah di mana mereka membesar dengan visual, teknologi canggih dan internet. Oleh itu, sastera juga perlu berlakunya revolusi dalam kaedah penyampaian jika ingin terus hidup.

Di sinilah letaknya keistimewaan buku Pengkisahan Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu terbitan Nusa Centre pada tahun 2024 dengan ketebalan 92 halaman.

Buku ini dihasilkan melalui gabungan kepakaran tiga tokoh akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu Prof. Madya Dr. Norazimah Zakaria dari bidang Kesusasteraan Melayu, Dr. Mazarul Hasan Mohamad Hanapi dari bidang Bahasa Melayu dan Dr. Suhazlan Suhaimi dari bidang Teknologi Maklumat.

Hasil kolaborasi mereka telah melahirkan sebuah karya yang bukan sekadar menceritakan semula Sulalatus Salatin tetapi memperkenalkannya dalam bentuk yang jauh lebih segar dan dekat dengan pembaca masa kini.

Perkara yang paling mencuri perhatian ialah keberanian buku ini menggabungkan dua elemen yang masih jarang ditemui dalam penerbitan karya agung Melayu, iaitu seni ilustrasi dan teknologi multimedia.

Selama ini, kebanyakan buku sastera klasik lebih menumpukan kepada teks semata-mata. Walaupun kandungannya sangat bernilai, penyampaiannya kadangkala terasa berat, khususnya kepada pembaca muda yang baru ingin mengenali karya agung.

Sebaliknya, Pengkisahan Sulalatus Salatin membuktikan bahawa karya klasik tidak semestinya membosankan. Setiap peristiwa penting dalam naskhah ini disampaikan melalui ilustrasi yang menarik dan penuh emosi.

Pembaca bukan sahaja membaca sesuatu peristiwa, malah dapat melihat gambaran visual yang membantu mereka memahami jalan cerita dengan lebih jelas.

Antara ilustrasi yang menarik dalam buku ini ialah peristiwa membunuh Ular Sakti Mona, Singapura dilanggar todak, Tun Besar bermain sepak raga serta peristiwa meminang Puteri Gunung Ledang.

Ilustrasi-ilustrasi ini bukan sekadar menghiasi halaman tetapi berfungsi sebagai medium penceritaan yang menghidupkan imaginasi pembaca.

Bagi generasi yang lebih cenderung kepada pembelajaran visual, pendekatan sebegini memberikan pengalaman membaca yang jauh lebih menyeronokkan.

Lebih menarik lagi, buku ini tidak berhenti pada ilustrasi semata-mata. Ia turut menggabungkan teknologi seperti Augmented Reality (AR), infografik dan permainan digital.

Pendekatan ini menjadikan buku ini bukan lagi sekadar bahan bacaan tetapi satu pengalaman pembelajaran interaktif.

Contohnya, seorang pelajar membaca kisah Singapura dilanggar todak, kemudian mengimbas AR menggunakan telefon pintarnya untuk melihat kandungan tambahan.

Pengalaman sebegini menjadikan sejarah dan sastera bukan lagi sekadar teks di atas kertas tetapi sebuah dunia yang boleh diterokai secara visual dan digital.

Pendekatan ini yang sebenarnya diperlukan oleh dunia sastera hari ini. Teknologi bukan musuh kepada buku.

Sebaliknya, teknologi boleh menjadi jambatan yang membawa generasi baharu kembali mencintai karya-karya lama terutamanya karya-karya agung Melayu.

Selain itu, penggunaan bahasa dalam buku ini juga merupakan satu kelebihan yang wajar diberikan pujian.

Penyampaian setiap peristiwa Sulalatus Salatin dalam buku ini menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami tanpa menghilangkan nilai asal karya tersebut.

Hal ini membolehkan pelajar sekolah, mahasiswa mahupun pembaca umum dapat menikmati kisah-kisah besar dalam Sulalatus Salatin tanpa rasa terbeban dengan bahasa klasik yang kompleks.

Kejayaan buku ini juga bukan sekadar berdasarkan pandangan pembaca semata-mata. Buku ini menerima pengiktirafan dalam beberapa pertandingan inovasi seperti menerima Pingat Perak dalam International Research and Information Science Expo (DIGIT360) 2025 dan Pingat Gangsa dalam International Teaching and Learning Innovation Competition(I-TLIC).

Malah, buku ini turut tersenarai dalam undian Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2025/2026 bagi kategori Pilihan Pembaca Buku Bercetak.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa usaha menggabungkan sastera dengan teknologi bukan sahaja relevan, malah mendapat perhatian dalam dunia pendidikan dan penerbitan.

Namun begitu, sumbangan paling besar buku ini sebenarnya ialah mesej yang dibawanya kepada industri buku negara.

Buku ini membuktikan bahawa karya agung Melayu mempunyai potensi yang sangat luas untuk dipersembahkan dalam bentuk yang lebih kreatif.

Selama ini kita sering mengagumi bagaimana Jepun mengangkat sejarah, budaya dan mitologi mereka melalui manga sehingga melahirkan nama-nama besar seperti Eiichiro Oda, Akira Toriyama, Tite Kubo dan Masashi Kishimoto.

Hasil kreativiti mereka menjadikan karya seperti One Piece, Dragon Ball, Bleach dan Naruto bukan lagi sekadar hiburan tetapi menjadi fenomena yang mendunia.

Persoalannya, mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama terhadap karya-karya agung Melayu yang lain?

Bayangkan jikalau Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja-Raja Pasai atau karya-karya agung lainnya dapat diterbitkan dengan ilustrasi berkualiti tinggi, susunan visual moden serta teknologi seperti AR.

Sudah tentu generasi muda akan melihat karya-karya ini dari sudut yang berbeza. Mereka bukan lagi membaca kerana terpaksa tetapi kerana benar-benar ingin mengenali kisah-kisah hebat yang membentuk identiti bangsa.

Lebih daripada itu, pendekatan sebegini turut membuka ruang besar kepada industri kreatif tempatan. Pelukis ilustrasi tanah air turut mempunyai bakat yang tidak kurang hebatnya.

Apabila projek seperti ini semakin rancak dihasilkan, mereka bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan, malah dapat menyumbang kepada usaha menghidupkan semula warisan sastera negara melalui sentuhan seni masing-masing.

Pengkisahan Sulalatus Salatin membuktikan bahawa karya agung Melayu tidak semestinya perlu dikekalkan dalam acuan lama untuk terus dihargai.

Gabungan ilustrasi, teknologi dan bahasa yang lebih mesra pembaca telah membuktikan buku ini bukan sekadar sebuah naskhah bacaan, tetapi contoh bagaimana inovasi mampu menghidupkan semula warisan bangsa.

Diharapkan sumbangan buku ini dapat mencelikkan mata para penerbit tanah air untuk memperbanyakkan karya seperti ini.

Hal ini sudah tentu dapat memastikan karya agung Melayu bukan sahaja kekal hidup di rak buku, tetapi terus hidup dalam imaginasi, minat dan hati generasi muda.

Dapatkan Pengkisahan Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu di Shoppe Nusa Centre.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *