Pada PBAKL yang lepas, tempat saya bekerja iaitu Kedai FIXI, Sunway Putra Mall didatangi para pembaca dan pempengaruh buku dari Indonesia.
Ketika ngobrol, barulah saya tahu bahawa mereka hadir di bawah kolektif LiteraTour (literasi + Tour).
Misi mereka ialah hendak menjelajahi kedai-kedai buku di sekitar Lembah Klang dan kemuncaknya adalah berada di PBAKL itu sendiri.
Sesudah kunjungan, sudah tentu saya follow akaun media sosial beberapa orang peserta atas tujuan menambah kenalan, mengetahui lebih lanjut tentang kegiatan perbukuan di negara seberang dan juga ingin lihat gambar saya yang mereka ambil.
Ketika scroll akaun media sosial salah seorang peserta LiteraTour, saya ternampak satu posting yang mengetengahkan isu tentang silent book club.
Ada pembaca yang mempersoalkan kewajaran mengadakan dan menyertai aktiviti silent book club, kerana menurut beliau, mengapa pembaca perlu berkumpul di satu tempat semata untuk membaca?
Membaca boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Lebih sesuai dan bemanfaat jika duduk berkumpul dan bahas buku yang sama.
Membaca hal ini buatkan saya teringat akan aktiviti silent book club di negara kita sendiri.
Kolektif silent book club juga sedang mula tumbuh di negara kita. Pernah saya ternampak posting yang mengajak para pembaca untuk hadir ke Taman KLCC bagi sertai aktiviti membaca.
Saya belum berpeluang untuk menyertai aktiviti ini. Hasil carian juga menemukan saya dengan silent book club JB yang mungkin paling awal ditubuhkan di negara ini.
Pada saya, pembaca yang menempelak aktiviti silent book club ini tidak faham bahawa setiap kolektif yang ditubuhkan itu membawa tujuan yang berbeza.
Satu ketika dahulu, dunia buku dihiasi dengan kolektif Buku Jalanan. Di mana-mana tempat, buku jalanan tumbuh bagai cendawan.
Saya sendiri pernah terlibat dengan kolektif buku jalanan yang berpusat di Taman Tasik Titiwangsa iaitu Buku Jalanan Titi.
Pelbagai aktiviti dijalankan oleh kami ketika itu. Asas buku jalanan itu ialah untuk membawa buku lebih dekat kepada komuniti.
Setiap dua minggu, kami akan hampar tikar di taman dan letak seberapa banyak buku di atasnya. Pengunjung boleh ambil buku-buku itu untuk dibaca malah boleh meminjamnya.
Perkara ini sebenarnya sangat membantu untuk masyarakat yang mungkin tiada capaian kepada buku.
Kemudian ketika aktiviti kolektif Buku Jalanan di seluruh negara sudah mula mengendur, ramai yang beralih kepada kelab buku.
Saya sendiri tidak terlepas dari menyertai sebuah kelab buku yang diberi nama BookendsMY.
Sebagai sebuah kelab buku, ada pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti sesi bedah buku, baca buku tempatan sempena bulan kemerdekaan, cabaran baca buku tebal, cabaran baca 100 mukasurat dan cabaran membaca ketika bulan Ramadan.
Semua aktiviti ini dijalankan hanya atas satu sebab iaitu untuk menggalakkan orang membaca.
Selaku seorang staf di rumah penerbitan buku, antara soalan yang sering saya terima ialah, “Bagaimana hendak konsisten membaca?”
Di sinilah sebenarnya aktiviti seperti silent book club ini boleh mainkan peranan.
Kita hidup di zaman di mana manusia tidak boleh berenggang langsung dengan telefon bimbit. Malah antara gangguan terbesar untuk membaca adalah telefon bimbit itu sendiri.
Sebab itu saya sering berpesan kepada mereka yang ingin konsisten membaca, mula dengan setkan target, sebagai contoh setengah jam sehari.
Dalam tempoh itu, letak jauh-jauh telefon bimbit, cari tempat yang sesuai dan mula membaca.
Cuba buat setiap hari. Lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan.
Apa yang saya cadangkan ini selari dengan apa yang dibuat oleh komuniti di dalam silent book club.
Mereka menggalakkan peserta hadir di satu tempat, bawa bahan bacaan dan membacalah tanpa sebarang gangguan dalam satu tempoh yang ditetapkan.
Walau aktiviti membaca ini boleh dilakukan di mana-mana, tetapi bukankah menyeronokkan bila kita berkumpul beramai-ramai dan membaca pada waktu yang sama?
Tidak kira samada silent book club, kelab buku atau buku jalanan, matlamatnya adalah sama, iaitu untuk menggalakkan masyarakat membaca.
Jadi tepuk dada tanya selera. Pilihlah mana-mana kolektif yang sesuai dengan anda asalkan akhirnya anda membaca dan buku di rumah yang belum dibaca akan berkurang jumlahnya.













