Odisi Romansa: Mendatar tapi menggetar

Odisiromansa

Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Setiap kali Ridhwan Saidi muncul dengan teater baharu, saya biasanya terus membeli tiket awal—kali ini, sempat juga mendapat diskaun pembeli awal.

Melalui segmen Teater Normcore, sebuah jenama teater yang dibikinnya sendiri dan menumpukan karya-karya yang berlawanan dengan teater hardcore, Ridhwan membawakan Odisi Romansa.

Teater ini dipentaskan pada 8–10 Mei dan 14–17 Mei 2026 di Blackbox, Damansara Performing Arts Centre. Dilakonkan oleh Lee Qi, Aliya Marissa dan Roshafiq Roslee.

Normcore dalam tangan Ridhwan meraikan hal-hal banal, tidak meledak-ledak, dan cenderung mendatar; tetapi dalam kedataran itu selalu ada denyut yang sukar dijelaskan.

Sebelum ini, melalui segmen Teater Normcore beliau telah menghasilkan beberapa karya lain seperti Stereo Genmai yang diadaptasi daripada novelnya sendiri, Tiada Cinta Selama Muda, Matinya Seorang Birokrat, Hamlet Fansuri dan beberapa karya lain yang tidak sempat saya tonton.

Untuk memahami bagaimana Odisi Romansa mendarat sebagai pengalaman pentas, kita perlu terlebih dahulu memahami cara Ridhwan menanggapi Teater Normcore dan falsafah kecil yang cuba dibawanya berdasarkan pemerhatian saya terhadap beberapa siri Teater Normcore terdahulu.

Teater Normcore meneroka hal-hal yang dianggap “normal” bagi Ridhwan. Ia tidak mengejutkan secara ekspresif, tetapi mengejutkan secara halus; meraikan absurditi sebagai realiti, mengangkat kebanalan dan kedataran sebagai ruang eksplorasi, serta memperkenalkan watak-watak yang kelihatannya tidak membawa agenda ‘besar’.

Odisi Romansa 02
Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Plotnya tidak mendesak, aksi dramatiknya kurang dramatik, manakala dialognya sering bergerak antara falsafah dan lirik. Ia teater yang tidak memburu drama; sebaliknya drama datang perlahan-lahan, seolah-olah tidak mahu mengaku dirinya drama. Teater Ridhwan seperti seni bangunan: dalam pegun ada drama.

Elemen drama yang paling penting ialah perubahan. Kalau tiada perubahan, ia tiada drama. Namun, apa sebenarnya yang berubah? Kalau sekolah Aristotle, yang di atas pentas yang berubah. Manakala sekolah Brecht, yang di hadapan pentas yang berubah.

Ada orang menyukai perubahan yang jelas: daripada wira kepada penyangak, daripada hidup kepada mati, daripada gagal kepada berjaya, daripada tidak faham kepada faham. Ini perubahan yang sangat berstruktur, dibangunkan melalui garis sebelum dan selepas yang mudah dilihat. Ada perubahan yang drastik, ada juga perubahan yang kecil.

Filem yang banyak suntingan dan banyak perubahan syot mengundang turun naik emosi; ada orang menyukai jenis ini. Ada pula karya yang satu adegan satu syot, kameranya tidak berubah dan rentaknya perlahan; ada juga orang menyukai drama begini.

Teater yang banyak dialog dan percakapan membentuk muzikaliti dalam dialog lalu membenihkan emosi. Teater yang banyak trafik pentas dan aksi lakon pula memberi kesan pergerakan; kita mengikuti perkembangan watak melalui tindakan-tindakan watak dan mengharap sesuatu akan terjadi hasil tindakan itu.

Odisi Romansa 04
Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Di sinilah Odisi Romansa menjadi menarik: ia menguji sabar kita terhadap jangkaan bahawa teater mesti sentiasa bergerak secara jelas, konflik mesti segera pecah, dan emosi mesti segera memuncak, perubahan mesti ada dan jelas.

Ridhwan mempermainkan sebahagian daripada penonton dengan apa yang dijangka dan diharap ada dalam sesebuah teater dengan menawarkan sesuatu yang paradoks. Odisi Romansa menggunakan watak-watak android yang tidak beremosi. Pengucapannya kering seperti robot.

Watak-wataknya tidak memiliki agensi besar kecuali fungsi yang telah ditetapkan, iaitu membersihkan habuk di bilik server. Segala tindakan mereka berdasarkan kecerdasan buatan dan data manusia yang mencipta mereka dahulu.

Watak android ini ialah perca-perca pascamanusia. Kewujudan mereka dan hubungan mereka dengan manusia sebagai pencipta dibincangkan melalui dialog antara watak.

Dalam beberapa adegan, kita didedahkan kepada keselarian antara konsep kehidupan manusia dengan android: server sebagai roh android, manusia dicipta daripada tanah, android daripada besi.

Android juga bersaksi—meskipun bukan dengan syahadah—bahawa manusia ialah pencipta mereka.

Beberapa petikan dialog ini mempunyai konotasi keagamaan, walaupun agama tidak dibincangkan secara langsung dalam teater ini.

Keselarian konsep ini boleh dilihat sebagai cara Ridhwan memahami dan memberi makna kepada dunia masa depan yang dibinanya. Beliau membentangkan persoalan kemanusiaan dengan menggunakan watak-watak bukan manusia.

Odisi Romansa 07
Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Pendekatan ini bukanlah baharu. Banyak karya lain menggunakan watak bukan manusia untuk bercakap tentang manusia; cerita animasi dan kartun, misalnya, sering melakukannya.

Namun, perkara yang lebih mendalam dalam Odisi Romansa bukanlah soal kemanusiaan semata-mata, tetapi bagaimana penulis menanggapi persoalan kewujudan melalui watak-watak android dalam latar masa depan yang sunyi.

Ridhwan seolah-olah “mematikan” manusia agar kita dapat membincangkan manusia, penciptaan dan kerinduan terhadap pencipta dengan jarak yang lebih selamat.

Odisi Romansa bukan semata-mata tentang masa depan pascamanusia dan kemanusiaan pada masa depan. Ia juga persoalan tentang eksistensialisme, iaitu krisis kewujudan.

Persoalan ini pernah diajukan oleh para absurdis terdahulu, sudah tentu dalam konteks dan pendekatan yang berbeza. Jarang sekali Ridhwan, dalam karya-karyanya, bercakap tentang hal-hal keagamaan dan ketuhanan secara terang-terang.

Namun, dalam teater ini beliau menyentuh aspek kemanusiaan sebagai satu bentuk spiritualiti. Dalam plotnya, terdapat pertembungan antara android-puris, iaitu android yang mahu kekal sebagai android, dengan android-manusiawi, iaitu android yang mahu menjadi sempurna seperti manusia.

Sekali imbas, hubungan antara android dengan manusia sebagai pencipta membuka ruang tafsiran yang mengingatkan kita kepada beberapa persoalan dalam tradisi sufistik: asal-usul, kerinduan terhadap pencipta, dan hasrat makhluk untuk melampaui bentuk kewujudannya.

Tidaklah saya mahir dan arif tentang hal sufisme, tetapi Odisi Romansa membuka jalan untuk ditafsir melalui perspektif tersebut.

Odisi Romansa 14
Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Sekali imbas, kerinduan antara Android Z dan Android Y boleh dibaca sebagai kerinduan romantik antara dua makhluk sintetik. Namun, pada lapisan yang lebih dalam, kerinduan itu membuka ruang tafsiran sufistik tentang makhluk, pencipta dan pencarian kesempurnaan diri.

Apabila Android Y menyifatkan server sebagai “surat cinta manusia kepada kita”, hubungan android dengan manusia tidak lagi teknikal semata-mata, tetapi berkait dengan memori, kasih dan asal-usul.

Keinginan Android Y untuk menjadi android-manusiawi pula memperlihatkan hasrat makhluk ciptaan untuk melampaui bentuk asalnya. Maka, apabila Android Y akhirnya tidak lagi bergantung kepada server, sebaliknya hidup melalui tumbuhan, matahari, nafas dan alam, Odisi Romansa terasa seperti perjalanan daripada mesin kepada makhluk; daripada sistem kepada hayat.

Justeru, tidak mustahil teater ini terasa lirikal dan puitis. Odisi Romansa seolah-olah bukan seperti teater biasa. Saya merasakan ia bagai sebuah puisi yang dideklamasikan dengan menggunakan watak, elemen sinografi yang teaterikal, pembinaan plot dan pengarahan yang teliti untuk menterjemah pengalaman spiritual yang sakral.

Teaternya mendatar, tetapi entah kenapa saya pegun memerhati dan mendengar butir dialog. Pelakon dipakaikan mikrofon supaya tidak perlu melontarkan suara, barangkali supaya pengucapan mereka tidak menjadi terlalu ekspresif.

Dunia yang diciptakan juga begitu sunyi. Walaupun ada penataan bunyi, bunyi itu menterjemah sunyi, dan sunyi itu pula menterjemah makna kerinduan yang menjadi persoalan utama watak-watak di dalam naskhah ini.

Ridhwan, yang memegang banyak peranan termasuk sebagai sinografer, berjaya membina dunia masa depan ini dengan meyakinkan. Ruang set mempunyai paparan skrin besar di sebelah kanan pentas, manakala di sebelah kiri terdapat skrin-skrin kecil seolah-olah konsol kawalan server dan komunikasi.

Kostum rekaan Nurul Aizam juga mengagumkan kerana membuatkan kita percaya bahawa watak-watak ini hidup pada masa hadapan. Segalanya monokromatik dan metalik, seperti gambaran tipikal dunia masa depan, tetapi tidak terasa kosong.

Dalam kesederhanaan visualnya, dunia pentas ini tetap mempunyai sistem dan logiknya sendiri.

Namun, dalam dunia masa depan ini, ada konvensyen tradisional yang digunakan, iaitu permainan boneka. Objek animasi (animated object) dibawa oleh ensembel untuk menjelaskan cerita.

Ada satu ketika ensembel keluar memegang objek roket di tangan dan bergerak-gerak seolah-olah mencadangkan watak sedang mengembara ke planet lain.

Ensembel lain pula keluar memegang plakad nama planet, menunjukkan bahawa roket itu telah melintasi planet-planet tersebut.

Odisi Romansa 27
Pementasan Odisi Romansa. Kredit foto: Moka Mocha Ink.

Pada penghujung adegan, objek besar berbentuk tangan keluar dan digerakkan oleh ensembel. Pilihan ini menarik kerana ia meletakkan teknologi masa depan bersebelahan dengan kesederhanaan kerja tangan teater; yang futuristik bertemu yang artesanal.

Odisi Romansa memperlihatkan keluasan korpus Ridhwan terhadap karya-karya dunia yang digemarinya. Beberapa petikan daripada seniman dan filusuf penting dunia direnjis dalam pelbagai babak, lalu memperkukuh identiti karya Ridhwan yang sememangnya sangat Ridhwanesque.

Begitu asli, hanya Ridhwan Saidi yang mampu buat apa yang Ridhwan Saidi buat. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Odisi Romansa merupakan puncak normcore dalam repertoir Teater Normcore yang pernah dihasilkannya—atau dalam bahasa GenZ, Normcore Pro Max.

Barangkali kerana beliau memegang tiga peranan besar sekali gus—penulis, pengarah dan sinografer—maka kawalan terhadap produksi ini terasa lebih utuh dan menyeluruh.

Pada mulanya, saya hampir yakin bahawa teater ini akan membosankan kerana jenama Teater Normcore itu sendiri sering dikaitkan dengan hal-hal yang banal dan mendatar.

Akan tetapi, dalam produksi ini, kedataran itu berubah menjadi sesuatu yang sakral. Dalam kedataran itu juga, saya menemukan sesuatu yang penuh spiritual.

Hasilnya, Odisi Romansa bukan sekadar sebuah teater yang perlahan; ia mengajar kita cara lain untuk menunggu, mendengar dan merasakan drama yang hampir tidak bergerak, tetapi diam-diam menyentuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *